redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Sehingga kini, saya masih terbayang-bayang dan terngiang-ngiang macam mana anak saya minta dilepaskan pelaku waktu didera serta diseksa hingga tak bernyawa.”
Itu kata Jazimin Abdul Jalil, 51, ketika mengimbas kisah anaknya, Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang meninggal dunia 18 tahun tahun lalu selepas dilaporkan menjadi mangsa bunuh.
Berkongsi kisahnya, Jazimin berkata, kerinduannya terhadap Nurin Jazlin tidak pernah berpenghujung namun apa yang lebih diharapkannya adalah keadilan buat anaknya.
“Rindu memang rindu tapi sebagai bapa, saya nak keadilan… bila dapat keadilan barulah saya akan puas hati walaupun sudah berbelas tahun dia meninggal dunia.
“Buat masa ini, kematian anak saya seolah sia-sia kerana pelakunya belum ditemui. Ahli keluarga lain pun mengharap yang sama tapi saya lebih lagi.
“Benda (jenayah) dia (pelaku) buat tak boleh diterima akal dan andai kata dapat ditangkap, saya nak tanya dia beberapa soalan bagi merungkai apa sebenarnya yang berlaku waktu kejadian,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Jalan Usahawan, Setapak, dekat sini, baru-baru ini.
Menurut Jazimin, sejak pemergian anaknya, ada yang menghubunginya untuk membantu menyalurkan maklumat.
“Ada yang mesej kata nak buat surat kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA) dan saya pun minta bantuan cerdik pandai untuk jelaskan nombor pendaftaran kenderaan.
“Sekarang sudah 2025 dan kalau di negara kita tiada (teknologi), di negara maju ada tapi ada pihak beritahu saya siapa nak menanggung kos untuk itu.
“Jadi saya harap kerajaan bantu dapatkan keadilan buat anak. Harap PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun bantu dapatkan keadilan buat anak saya.
“Cara pemergiannya (anak) saya tak boleh terima sebab dia bukan ditikam terus hilang nyawa tapi didera dan diseksa. Kalau orang dewasa pun tak bertahan dengan penderaan itu, inikan pula kanak-kanak. Betapa azabnya dan hingga hari ini, pelaku tak dapat ditangkap jadi dia memang genius, siapalah gerangannya?” katanya.
Berhubung perkongsiannya yang tular di laman sosial baru-baru ini, Jazimin berkata, niatnya berkongsi gambar adalah untuk meminta bantuan warganet menyuntingnya.
“Hari itu, saya buka Facebook (Fb) dan tengok ada kumpulan Edit Apa Hari Ini jadi cuba kongsi gambar dengan anak minta digabungkan.
“Tak sangka akan tular dan ramai ucap takziah serta sedekahkan al-Fatihah. Jutaan terima kasih saya ucapkan kerana prihatin.
“Bukan nak publisiti tapi syukur banyak yang kirim gambar disunting tapi ada juga komen toksik menyakitkan hati cuma lebih banyak positif. Ramai juga yang masih ingat kisah anak saya,” katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Nurin Jazlin, 8, dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos 2007.
Mangsa dikatakan dilarikan seorang lelaki menaiki sebuah van putih.
Pada 17 September 2007, polis menemukan mayat kanak-kanak perempuan dalam beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor sebelum keputusan ujian DNA mengesahkan mangsa adalah Nurin Jazlin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




