Bapa maut, 2 anak cedera dalam kemalangan di LPT2

Bapa maut, 2 anak cedera dalam kemalangan di LPT2

am@hmetro.com.my

Chukai: Seorang lelaki maut manakala dua anaknya cedera termasuk seorang parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Perasing, pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 11.35 pagi, Hajis Ismail, 70, yang beralamat di Kampung Kubang Panjang, Kuala Terengganu maut di tempat kejadian.

Dua anaknya, Ahmad Zulhilmi Hajis, 26, cedera parah sementara abangnya, Nor Nizzam Hajis, 37, hanya cedera ringan.

Pemangku Ketua Polis daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhammad Wan Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian, kesemua mangsa yang menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu Ahmad Zulhilmi itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang lebuh raya.

“Rempuhan terbabit menyebabkan mangsa yang duduk di sebelah pemandu tercampak keluar,” katanya.

Wan Muhammad berkata, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Bandar Cheneh Baru akibat kecederaan parah di kepala.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Dua anak mangsa yang cedera dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk diberi rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top