Bapa Neymar kini CEO Santos

Bapa Neymar kini CEO Santos

Brasilia: Kelab Brazil, Santos FC mengumumkan bahawa mereka melantik bapa merangkap ejen kepada Neymar, Neymar Sr, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab itu.

Bapa Neymar memainkan peranan penting dalam perjalanan karier anaknya dan turut mengasaskan agensi NR Sports yang memegang hak terhadap nama serta imej pemain Santos itu.

Menurut laporan media Brazil, kontrak Neymar Sr berlangsung sehingga Disember ini dan beliau akan terus memegang jawatan berkenaan sekiranya Presiden Santos, Marcelo Teixeira dipilih semula pada bulan depan.

Santos kini berada di tangga kesembilan carta Liga Serie A Brazil dengan mengumpul 47 mata daripada 34 perlawanan.

“Kami setiap hari berusaha mencari penyelesaian dan alternatif untuk memperbaiki keadaan Santos serta memperkukuhkan pengurusan kelab,” kata Teixeira dalam satu kenyataan.

“Kehadiran Neymar Sr sebagai CEO baharu mewakili satu lagi langkah dalam proses ini. Saya yakin dengan pengalaman dan pengetahuannya, kami mampu bergerak lebih jauh dan bersama-sama membina sebuah kelab yang lebih kukuh,” katanya lagi.

Neymar yang pernah menyarung jersi Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG), kembali menyertai kelab zaman kanak-kanaknya, Santos pada 2025.

Pemain berusia 34 tahun itu adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 80 gol dalam 130 penampilan antarabangsa.

Beliau turut disenaraikan dalam skuad Brazil pada Piala Dunia tahun ini di Amerika Utara, namun pada penghujung Julai lalu menyatakan tidak lagi mahu beraksi bersama skuad kebangsaan, beberapa minggu selepas memberi bayangan karier antarabangsanya sudah berakhir susulan kekalahan Brazil kepada Norway pada pusingan 16 terakhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top