amir_hamid@mediaprima.com.my
Putrajaya: Bergenang air mata seorang bapa ketika bersuara merayu sumbangan orang ramai untuk bantu menampung rawatan anaknya yang kini sedang bertarung nyawa melawan kanser darah dan sum-sum tulang atau Leukemia Limfoblastik Akut Sel-B tahap empat.
Bagi Tarmizi Ahmad, 52, dunianya seakan gelap apabila memikirkan kos rawatan berjumlah RM64,764 yang perlu disediakan segera bagi membolehkan anak sulungnya, Nur Emira Hafiza, 27, menjalani prosedur pemindahan darah dan pembelian ubat-ubatan.
Tarmizi yang bekerja sebagai pengusaha tanaman cili fertigasi di Putrajaya mengakui pendapatan hasil kebun tidak mampu untuk menampung jumlah sebesar itu dalam masa yang singkat, apatah lagi prosedur berkenaan dijadualkan berlangsung pada 15 Mei ini di Hospital Ampang.
Menurutnya, selepas beberapa siri rawatan dilakukan, pihak hospital mencadangkan supaya rawatan pemindahan darah dilakukan.
Selepas pemeriksaan perubatan dibuat, anak keempatnya iaitu Anas Hakimi, 19, penuntut di Kolej Komuniti, Bukit Beruang Melaka, antara yang layak untuk menjalani prosedur itu.
“Saya buntu, nak cari duit dari mana pun saya dah tak tahu. Saya memerlukan RM64,764 untuk membeli tiga kotak ubat bagi rawatan ini. Sekotak ubat itu dianggarkan RM22,000. Ini tidak termasuk kos-kos lain bagi prosedur pemindahan darah daripada anak keempat saya (Anas Hakimi) kepada kakaknya (Nur Emira).
“Sebagai pekebun cili, buat masa ini saya benar-benar tidak mampu. Wang simpanan yang ada tidak mencukupi untuk kos ubat yang sangat mahal itu,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di Ladang Insentif Pendapatan Rakyat (IPR) Putrajaya, di sini, hari ini.
Menceritakan kembali detik penderitaan anaknya, Tarmizi berkata Nur Emira mula dikesan menghidap penyakit itu pada September tahun lalu selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba ketika menziarahi kematian saudara di Pulau Pinang sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
“Keadaan menjadi cemas apabila pemeriksaan awal di Hospital Seberang Jaya dan ujian X-ray mendapati paru-paru sebelah kiri anak seolah-olah ‘hilang’ kerana telah ditutup sepenuhnya oleh serangan agresif sel kanser.
“Masa dipindahkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) Hospital Ampang, doktor pakar pernah beritahu harapannya untuk hidup sangat tipis. Paru-parunya terpaksa ditebuk dan mengeluarkan darah hitam sebanyak dua hingga tiga baldi. Selepas prosedur itu, barulah dia dapat bernafas semula.
“Disebabkan serangan kanser ini juga, berat badan Emira susut mendadak daripada 50 kilogram (kg) menjadi sekitar 20 hingga 30 kg sahaja. Dia sangat lemah, tidak boleh berdiri lama dan sekarang hanya bergantung kepada kerusi roda,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini, Nur Emira bekerja sebagai penyelia di sebuah gedung farmasi, namun kini terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana keadaan fizikal yang tidak mengizinkan selain perlindungan insurans syarikat yang telah habis digunakan untuk rawatan kemoterapi sebelum ini.
Selain Nur Emira, Tarmizi turut menanggung tiga lagi anak yang masih belajar, manakala anak keduanya pula hanya mempunyai pendapatan kecil.
Walaupun sedar rawatan pemindahan darah ini mempunyai risiko tersendiri, Tarmizi tetap menaruh harapan tinggi supaya anak sulungnya itu kembali pulih.
“Pihak hospital ada membantu mengeluarkan surat sokongan untuk memohon bantuan zakat atau Baitulmal, namun prosesnya memakan masa sedangkan ubat berkenaan perlu diperoleh segera sebelum pembedahan.
“Saya hanya berharap ada ihsan daripada orang ramai yang simpati dengan derita anak saya. Hanya Allah yang dapat membalas jasa baik anda semua,” rayunya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan bantuan terus ke akaun RHB Islamic – 16212000223410 atas nama Nur Emira Hafiza (talian 0103684117) atau akaun CIMB – 7059260380 atas nama Tarmizi Ahmad (talian 01170740097).
© New Straits Times Press (M) Bhd



