am@hmetro.com.my
Kluang: Masa depan dua beradik daripada keluarga enam beranak yang hidup daif dalam bangsal buruk tidak menentu selepas permohonan daftar lewat kelahiran belum diluluskan lagi.
Akibatnya, Nurul Ain Ibrahim Yong, 10, dan adiknya, Abdul Malik Ibrahim Yong, 8, tidak boleh menikmati kemudahan sebagai warganegara seperti akses pendidikan dan kesihatan awam.
Bapa mereka, Ibrahim Yong Abdullah, 50, berkata, kali pertama dia melakukan permohonan daftar lewat kelahiran adalah pada 20 Ogos 2016 ketika Nurul Ain berusia setahun.
“Ketika itu saya berada di Simpang Arang Gelang Patah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membuat program pendaftaran lewat kelahiran di sana dan saya mendaftarkan Nurul Ain.
“Kemudian anak lelaki saya lahir pada 2017 dan saya membuat permohonan daftar lewat kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor Bahru pada April 2018.
“Setiap tahun saya pergi ke JPN Johor Baharu untuk menuntut dokumen berkenaan tetapi dimaklumkan belum siap.
“Sebelum Covid-19, saya dan keluarga berpindah ke Kampung Tengah di sini dan selepas itu, pada 2022, saya pergi ke JPN Johor Bahru dan dimaklumkan, dokumen berkenaan hilang,” katanya.
Dia berkata, pada 2023, dia membuat permohonan daftar lewat kelahiran yang baharu di JPN Kluang dan pada 17 Julai 2024, dia dipanggil untuk hadiri temu duga berkaitan permohonan itu.
Katanya, turut serta dalam temu duga itu adalah dua anaknya itu, penganjur dan saksi bagi menyokong permohonan berkenaan.
“Saya datang ke JPN Kluang untuk bertanya status berkenaan pada Oktober 2024 semasa mahu mengambil kad pengenalan baharu anak kedua.
“Pegawai bertugas di kaunter berkata belum siap lagi dan nanti dia akan hubungi.
“Kali kedua saya pergi awal tahun ini sebab saya mahu mendaftarkan anak-anak saya ke sekolah, pegawai yang sama berkata, masih belum siap dan tak boleh berbuat apa-apa kerana JPN Johor Bahru yang menguruskannya,” katanya.
Dia berkata, tiga anaknya yang lain iaitu Siti Aisyah, 14, Nurul Hana, 13, dan Nurulanisah, 5, sudah memiliki MyKad dan MyKid.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan enam beranak hidup dalam keadaan serba daif di dalam sebuah bangsal buruk berdindingkan zink di Kampung Tengah, di sini, sejak tujuh tahun lalu akibat kesempitan hidup.
Tinjauan Harian Metro mendapati seorang lelaki Orang Asli yang memeluk Islam sejak 20 tahun lalu tinggal bersesak bersama lima anaknya berusia 4 sehingga 14 tahun di bangsal berkenaan atas ihsan pemilik tanah.
© New Straits Times Press (M) Bhd