Bapa seorang anak direman 3 hari, disyaki intai sepupu mandi

Bapa seorang anak direman 3 hari, disyaki intai sepupu mandi

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Penjual durian direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana disyaki mengintai sepupu perempuannya sedang mandi di sebuah rumah di Parit Sulong, di sini, semalam.

Perintah reman terhadap suspek berusia 37 tahun yang juga bapa kepada seorang anak dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bermula hari ini sehingga Jumaat.

Pada masa sama, ia juga membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Menurut laporan dibuat, mangsa remaja perempuan berusia 17 tahun sedang mandi sebelum ibunya terdengar jeritan dari dalam bilik air.

Mangsa memberitahu ibunya berusia 39 tahun, dia ternampak kelibat seorang lelaki tidak dikenali sebelum suspek melarikan diri.

Pada masa sama, suspek tidak sempat merakam kerana perbuatannya disedari lebih awal oleh mangsa.

Bagaimanapun, mangsa mula mengesyaki perbuatan itu dilakukan suspek yang juga sepupunya kerana terdapat kereta milik lelaki itu diparkir berdekatan rumahnya.

Bertindak atas laporan itu, polis berjaya menahan suspek di sebuah rumah bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top