Bapa taruh harapan Muhamad Khamil Bashah kembali sembuh

Bapa taruh harapan Muhamad Khamil Bashah kembali sembuh

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Sungai Buloh: “Sebagai bapa, saya masih menaruh harapan untuk melihatnya sembuh kerana nak dia sihat macam dulu,”.

Demikian harapan Abdul Samat Yeop Hamzah, 71, ketika menceritakan kisah anaknya, Muhamad Khamil Bashah Abdul Samat, 32, yang menanggung derita akibat barah darah.

Lebih menyedihkan, penyakit itu juga menyebabkan kedua belah penglihatan Muhamad Khamil Bashah jadi semakin kabur.

Menurut Abdul Samat, Muhamad Khamil Bashah sebelum ini menerima rawatan di Hospital Ampang namun sudah dibenarkan pulang ke rumahnya di Taman Desa Coalfields, dekat sini empat hari lalu.

Abdul Samat berkata, anaknya itu juga sudah tidak dapat meneruskan rawatan kemoterapi kerana keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Bagaimanapun, Abdul Samat berkata, Muhamad Khamil dimasukkan semula ke Hospital Ampang, Selangor akibat masalah kesihatannya.

“Buat masa ini, Khamil (nama panggilan anak) lemah, tak larat nak berjalan dan kedua belah matanya juga sudah kabur.

“Mulanya sebelah kiri (mata) dan sekarang kanan pun sama.

“Khamil sempat buat dua kitaran kemoterapi tapi tak berkesan. Disebabkan itu, doktor syorkan Khamil pulang ke rumah tapi hari ini dimasukkan semula ke hospital,” katanya kepada Harian Metro.

Abdul Samat berkata, sejak awal lagi, dia yang menjaga, memantau dan menguruskan Muhammad Khamil Bashah.

“Saya menjaga Khamil sejak dia dimasukkan ke Hospital Ampang sampai sekarang.

“Bukan saja uruskan malah saya juga sediakan makanannya dan tak berseorangan kerana dibantu seorang lagi anak lelaki.

“Apa dia nak makan, saya cuba turutkan walaupun nampak tak berselera sangat. Sedih melihat keadaannya tapi saya akan terus bagi semangat buat anak untuk mengharungi ujian itu,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Muhamad Khamil Bashah yang diuji dengan barah darah dan menerima khabar duka itu pada 22 Ogos lalu.

Berikutan itu, Muhamad Khamil Bashah yang pernah berkhidmat 10 tahun sebagai anggota polis tidak dapat meneruskan kerjayanya sebagai pengawal peribadi.

Keadaan itu merunsingkan dirinya kerana tidak dapat mencari rezeki demi membesarkan anak tunggalnya, Muhammad Aiden Noah yang kini berusia tiga tahun.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 163019746392 atas nama Muhamad Khamil Bashah Abdul Samat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top