LONDON – Seorang wanita warga Britain maut ditembak bapanya sendiri ketika melawat kediaman lelaki itu di Texas, Amerika Syarikat, selepas mereka dilaporkan bertengkar mengenai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada hari kejadian.
Lapor media Britain, mangsa, Lucy Harrison, 23, berasal dari Warrington, Cheshire, ditembak di bahagian dada di rumah bapanya, Kris Harrison di Prosper, berhampiran Dallas, pada 10 Januari 2025.
Kematian Lucy pada awalnya disiasat sebagai kes pembunuhan tanpa niat oleh pihak polis tempatan dan tiada pertuduhan jenayah dikenakan terhadap Harrison, selepas juri besar di Collin County memutuskan untuk tidak mendakwanya.
Perkara itu didedahkan dalam prosiding inkues yang bermula di Mahkamah Koroner Cheshire, England, apabila teman lelaki mangsa, Sam Littler, memberitahu mahkamah bahawa Lucy dan bapanya terlibat dalam ‘pertengkaran besar’ berkaitan isu politik Amerika, khususnya mengenai Donald Trump yang ketika itu sedang bersiap untuk dilantik bagi penggal kedua sebagai Presiden.
Menurut Littler, Lucy sering berasa tidak selesa dan marah apabila bapanya bercakap tentang pemilikan senjata api, satu isu yang kerap mencetuskan ketegangan antara mereka.
Inkues turut dimaklumkan bahawa Harrison, yang berpindah ke Amerika Syarikat ketika Lucy masih kecil, pernah menjalani rawatan pemulihan akibat ketagihan alkohol.
Dalam kenyataan bertulis kepada mahkamah, Harrison mengakui dia kembali minum alkohol pada hari kejadian dan telah mengambil kira-kira 500 mililiter wain putih.
Littler memberitahu, pada pagi kejadian, Lucy pernah bertanya bapanya semasa pertengkaran itu:
“Bagaimana perasaan ayah jika saya berada dalam situasi tersebut dan menjadi mangsa serangan seksual?”
Namun, jawapan bapanya yang menyatakan perkara itu tidak akan terlalu mengganggunya kerana dia mempunyai dua lagi anak perempuan telah menyebabkan Lucy menjadi sangat tertekan sebelum berlari ke tingkat atas rumah.
Menurut Littler, kira-kira 30 minit sebelum mereka bertolak ke lapangan terbang, Lucy berada di dapur apabila bapanya memegang tangan mangsa dan membawanya ke bilik tidur di tingkat bawah.
Tidak lama kemudian, Littler mendengar bunyi tembakan kuat sebelum Harrison menjerit memanggil isterinya.
“Saya masuk ke bilik dan melihat Lucy terbaring di lantai berhampiran pintu bilik mandi, manakala Harrison hanya menjerit dalam keadaan tidak terkawal,” katanya.
Dalam kenyataannya, Harrison mendakwa dia dan anaknya ketika itu sedang menonton berita berkaitan keganasan senjata api sebelum dia memberitahu Lucy bahawa dia memiliki sepucuk pistol dan bertanya sama ada anaknya mahu melihatnya.
Dia kemudian membawa Lucy ke bilik tidur untuk menunjukkan pistol separa automatik Glock 9mm yang disimpan di dalam kabinet sisi katil.
Harrison mendakwa senjata itu dibeli beberapa tahun lalu atas alasan keselamatan keluarga dan menafikan pernah berbincang mengenai pemilikan senjata tersebut dengan anaknya sebelum ini.
Katanya, ketika mengangkat pistol untuk ditunjukkan, satu letupan tiba-tiba berlaku dan Lucy terus rebah ke lantai. Dia juga mengakui tidak pasti sama ada jarinya berada pada picu ketika kejadian.
Inkues turut mendengar keterangan seorang pegawai polis, Luciana Escalera, yang menyatakan terdapat bau alkohol pada nafas Harrison ketika polis tiba di lokasi kejadian.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan Harrison membeli dua kotak wain Chardonnay 500 mililiter di sebuah kedai serbaneka kira-kira sejam sebelum kejadian.
Prosiding inkues ditangguhkan ke hari Rabu, dengan keputusan rasmi koroner dijangka diumumkan selepas itu. – Agensi
Ringkasan AI
- Seorang wanita warga Britain maut ditembak bapanya sendiri di Texas kerana pertengkaran mengenai Donald Trump
- Mangsa, Lucy Harrison, ditembak di bahagian dada di rumah bapanya di Prosper
- Kematian Lucy disiasat sebagai kes pembunuhan tanpa niat dan tiada pertuduhan jenayah dikenakan terhadap bapanya
- Lucy dan bapanya bertengkar hebat mengenai isu politik Amerika dan pemilikan senjata api
- Kris Harrison mengakui kembali minum alkohol pada hari kejadian dan tidak pasti sama ada jarinya berada pada picu ketika pistol meletup



