Bapa tiri didakwa cederakan 3 anak guna paip PVC

Bapa tiri didakwa cederakan 3 anak guna paip PVC

am@hmetro.com.my

Seremban: Lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan tiga anak tirinya berusia 15 hingga 19 tahun menggunakan sebatang paip polyvinyl chloride (PVC) pada minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 44 tahun mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin dan N Kanageswari di dua kamar mahkamah berasingan.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap tiga anak lelaki tirinya berusia 15, 16 dan 19 tahun dengan menggunakan alat yang jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin boleh menyebabkan kematian iaitu sebatang paip PVC.

Kesemua kesalahan itu dilakukan pada 5.30 pagi di sebuah rumah di Taman Bukit Mutiara di sini, pada 15 Ogos lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Sementara itu, isteri tertuduh berusia 39 tahun mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anak lelakinya berusia 16 tahun dengan menggunakan pisau yang mungkin boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi dan masa yang sama dengan pendakwaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni dan Siti Khairiah Abdul Razak, masing-masing menawarkan jaminan RM50,000 dan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Norazihah memaklumkan kepada mahkamah bahawa mangsa mengalami ‘soft tissue injury’.

Tertuduh lelaki yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan paling minimum diberikan kerana dia tidak mempunyai pendapatan dan orang kelainan upaya (OKU).

“Saya seorang OKU, kaki saya langsung tidak boleh bengkok selepas terbabit kemalangan. Selama ini saya yang menjaga keluarga dan empat anak tiri (anak isteri),” katanya.

Ketika prosiding, lelaki itu berkata, anak tirinya itu dikatakan menghisap vape yang mengkhayalkan dan pernah ditegur secara baik namun tidak mendengar nasihatnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan lelaki itu dijamin sebanyak RM33,000 bagi tiga pertuduhan, manakala isterinya diberi jamin sebanyak RM15,000 masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan syarat tambahan kepada pasangan suami isteri itu supaya melapor diri di balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu atau berhubung dengan saksi sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 dan 29 September depan bagi proses lantikan peguam, serahan dokumen serta laporan perubatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top