Barangan kemas dirampas dari Pavilion Residences dianggarkan RM443.3 juta

Barangan kemas dirampas dari Pavilion Residences dianggarkan RM443.3 juta

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pegawai kanan polis memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, 12,009 item barangan kemas yang dirampas daripada unit kediaman mewah bersabit siasatan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) lapan tahun lalu, dianggarkan bernilai RM443.3 juta.

Asisten Komisioner Polis (ACP) Foo Wei Min yang ketika kejadian bertugas di bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urusetia Ketua Polis Negara, Bukit Aman, berkata anggaran itu dibuat selepas pakar barang kemas dan polis membuat pemeriksaan dan penilaian pada 30 Mei hingga 25 Jun 2018.

Menurut saksi kelima pihak ketiga dalam perbicaraan kes saman difailkan syarikat barangan kemas yang berpangkalan di Lubnan, polis kemudian mengeluarkanperintah sitaan untuk menyita semua barangan kemas terbabit.

Beliau berkata, susulan itu, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, 75, kemudian diminta hadir ke pejabat Bahagian Siasatan

Jenayah Penggubahan Wang

Haram untuk membantu siasatan berhubung harta yang dirampas termasuk barang kemas itu.

“Datin Seri Rosmah menyatakan bahawa, beliau tidak tahu dan tidak mengarahkan sesiapa untuk memindahkan barang-barang dari kediamannya di Langgak Duta ke Pavilion Residences.

“Beliau juga tidak pernah menyatakan, harta berkenaan adalah miliknya dan memaklumkan tidak dapat mengecam semua baranganberkenaan walaupun ditunjukkan gambar yang jelas.

“Pada 11 Mac 2020,Mahkamah Tinggi membenarkan syarikat barangan kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL untuk memeriksa barangan terbabit. Hasil pemeriksaan mendapati hanya satu daripada 44 barang kemas milik syarikat itu,” katanya.

Terdahulu, Wei Min berkata, pada 17 Mei 2018, sepasukan polis dari JSJK Bukit Aman membuat pemeriksaan di sebuah unit penthouse di Pavilion Residences di sini berdasarkan waran geledah.

Beliau berkata, polis kemudian merampas harta alih antaranya 35 beg mengandungi wang tunai pelbagai dominasi, enam buah beg mengandungi jam tangan pelbagai jenama dan 25 beg berisi pelbagai barang kemas.

Katanya, turut disita, tiga buah beg mengandungi cermin mata pelbagai jenis dan jenama, sebuah beg berisi dompet pelbagai saiz dan jenama serta 284 kotak mengandungi beg tangan.

Menurut saksi, pendakwa raya kemudian memfailkan suatu permohonan pelucuthakan harta di bawah Seksyen 56 Akta 613 melalui permohonan jenayah terhadapbarang-barang yang disita.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes samanAS$14.57 juta yang difailkan Global Royalty berkaitan kehilangan lebih 40 barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada Rosmah Mansor.

Wei Min seterusnya berkata, Rosmah tidak boleh mengecam kesemua harta alih berkenaan walaupun ditunjukkan dengan gambar yang jelas.

Katanya pada 26 April 2022,satu arahan telah dikeluarkan Peguam Negara untuk memulangkan 9,554 unit barang kemas kepada Datuk Seri Najib Razak dan isterinya dan tindakan pemulangan kesemuanya dilaksanakan pada 28 April 2022 hingga keesokannya kepada firma guaman yang mewakilinya.

Beliau berkata, pemulangan barangan dilaksanakan pada 28 hingga 29 April 2022 kepada wakil mereka, Datuk Akbar Abdul Gafoor dari Tetuan Azamuddin & Co.

Pada 14 November 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta berkenaan di bawah Seksyen 56 Akta 613 dalam kes Pendakwa Raya melawan Obyu Holding Sdn Bhd.

Susulan keputusan itu, sebanyak 2,431 lagi barang kemas dipulangkan kepada wakil Rosmah pada 9 Disember 2022 di Bank Negara Malaysia (BNM).

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Quay Chew Soon bersambung esok.

Ends…

From: Joe

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top