Zenica, Bosnia-Herzegovina: Bosnia menewaskan Itali menerusi penentuan sepakan penalti, awal pagi tadi, untuk layak ke Piala Dunia buat kali kedua dan pengurus, Sergej Barbarez kelihatan tenang di Zenica ketika memuji karakter pemainnya.
Selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Wales melalui penentuan seakan penalti dalam separuh akhir pada Khamis, Bosnia mengulangi prestasi sama untuk mengejutkan juara empat kali itu, sekali gus Itali gagal mara ke pusingan akhir buat kali ketiga berturut-turut.
“Saya memberitahu pemain untuk masuk ke padang dan nikmati perlawanan,” kata Barbarez.
“Saya tidak pernah masuk atau menamatkan perlawanan dengan begitu tenang, saya nampak pada mata mereka, saya benar-benar menyukai mereka, mereka adalah pemain yang berbakat dan berkarakter.
“Kami ada pemain yang kami banggakan, kami dua tahun lebih awal daripada jadual. Kini saya beritahu mereka bahawa kita harus pergi ke kejohanan setiap dua tahun.”
Bosnia ketinggalan selepas 15 minit, tetapi walaupun Itali bermain dengan 10 orang sebelum separuh masa pertama berakhir, tuan rumah hanya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-79.
“Pada awal separuh masa pertama, kami menghadapi beberapa masalah,” kata Barbarez.
“Kami tidak teratur dan tidak berada di posisi yang sepatutnya, kami tidak menjaga pemain lawan dengan baik. Itulah sebabnya kami bolos melalui serangan balas.
“Tetapi menentang pasukan bertaraf dunia yang bertahan dengan baik walaupun hanya 10 pemain, anda boleh lihat kami percaya sejak saat pertama.”
Pemain sayap Bosnia berusia 18 tahun, Kerim Alajbegovic masuk dari bangku simpanan dan menjaringkan penalti kemenangan menentang Wales, tetapi pengurus itu enggan menurunkannya dari awal ketika menentang Itali.
Namun, pemain remaja sensasi itu sekali lagi muncul untuk menjaringkan gol dalam penentuan penalti.
“Akhirnya, kami memutuskan Kerim diperlukan dalam rancangan kedua kami,” kata pengurus itu.
“Anda lihat, dia berusia 18 tahun, dalam musim senior pertamanya. Kadang-kadang baik untuk melakukan perkara seperti ini. Dia memahami semua ini, saya bercakap dengannya.”
Pemain pertahanan Bosnia, Nikola Katic kelihatan sebak selepas kemenangan dramatik itu.
“Saya tidak pernah menangis selepas perlawanan, saya berumur 29 tahun dan kini air mata mula mengalir,” katanya.
“Kami menunjukkan semua semangat yang hebat itu dan menamatkannya dengan sempurna dalam dua perlawanan menentang lawan yang serius ini.
“Semua orang akan lebih gembira apabila mereka kembali bekerja esok. Saya sangat bangga. Saya bergetar, bulu roma meremang. Saya bercakap, dan saya sendiri tidak tahu apa yang saya katakan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




