am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Band rock Barbarik dianggotai JoBranko (gitar), Muss (penyanyi), Rozaimi (bass) dan Ainol (dram) mencatat sejarah peribadi apabila melancarkan baju-T edisi terhad.
Ia dihasilkan menerusi kolaborasi eksklusif bersama kelab hiburan terkenal Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dengan penjualan sudah bermula di premis terbabit hari ini.
JoBranko berkata, kerjasama ini dicetuskan oleh Hard Rock Cafe yang tertarik dengan sambutan hebat peminat semasa pre konsert album sulung Barbarik di situ pada Disember lalu.
“Peminat yang datang turut mencari baju-T kami dari dulu. Dari sini datangnya idea kepada pihak Hard Rock Cafe untuk hasilkan baju-T Barbarik ini.
“Baju-T eksklusif ini hanya dijual di sini dan tidak terdapat di tempat lain termasuk dalam talian. Design daripada kamilah. Beberapa design diberikan dan apabila mereka setuju baru dikeluarkan.
“Bagi kami, Barbarik rasa berbangga juga kerana Hard Rock Kuala Lumpur pilih kami. Mereka nama terkenal dan nama lebih besar dari kami,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengurus Runcit Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Nur Nadiah Adam berkata, pemilihan band untuk kolaborasi tidak dibuat secara sembarangan.
“Kami hanya memilih artis yang memiliki reputasi yang kukuh dan pencapaian yang terbukti. Sudah tentu band otai ini memang hebat.
“Hard Rock Cafe Kuala Lumpur tidak akan menjalinkan kolaborasi dengan mana-mana band atau artis yang tidak mempunyai reputasi kukuh.
“Setiap kerjasama dipilih berdasarkan pencapaian dan kekuatan jenama artis itu sendiri. Kami tidak sewenang-wenangnya memilih band untuk dijadikan rakan kerjasama. Semuanya melalui proses penilaian yang teliti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, JoBranko melahirkan kekecewaan Barbarik turut berdepan isu penjualan baju-T tiruan yang mencemari reputasi mereka.
“Terdapat penjual di Shopee yang mengambil kesempatan apabila sesuatu produk menjadi viral. Kebanyakan mereka berasal dari Sabah, yang menyebabkan sukar untuk kami mengesan penjualan ini.
“Mereka menjual baju-T edisi terhad kami, termasuk rekaan Barbarik Pentas Keras, dengan harga yang lebih murah.
“Walaupun di Sabah, harga baju-T berkenaan boleh mencecah sekitar RM70 hingga RM80 kerana kos pengeluaran yang tinggi di sana, namun situasi ini tetap sukar dikawal.
“Lebih membimbangkan, karya-karya (lagu) lama juga dijual tanpa izin di platform seperti Shopee,” katanya.
Sebanyak 1,000 baju-T edisi terhad dikeluarkan dan dijual dengan harga RM175 sehelai dan boleh didapati secara eksklusif di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd