Riyadh: Juara Wimbledon, Barbora Krejcikova, menuntut agar lebih banyak rasa hormat dan profesionalisme diterapkan dalam media sukan, berikutan komen yang dianggap ‘tidak profesional’ mengenai penampilannya semasa siaran langsung di Tennis Channel.
Barbora, yang kini menduduki tangga ke-13 dunia, baru-baru ini tewas 3-6, 5-7 kepada pemenang pingat emas Olimpik, Zheng Qinwen, dalam perlawanan separuh akhir Jelajah Akhir WTA di Riyadh.
Bagaimanapun, apa yang mengundang kecaman bukanlah keputusan perlawanan itu, tetapi komen yang dibuat oleh wartawan Tennis Channel, Jon Wertheim, semasa siaran langsung acara berkenaan.
Semasa siaran, Wertheim yang tidak menyedari mikrofon masih belum dimatikan, dikatakan membuat komen mengenai dahi Barbora, yang kemudian mencetuskan kritikan hebat di media sosial.
Komen itu dianggap tidak relevan dan tidak menghormati Barbora sebagai seorang atlet.
“Sebagai seorang atlet yang memberikan sepenuh dedikasi kepada sukan ini, saya sangat kecewa melihat komen seperti ini yang tidak profesional,” tulis Barbora dalam satu kenyataan di platform X.
“Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku dalam dunia sukan. Saya sering memilih untuk tidak bersuara, tetapi saya rasa sudah tiba masanya untuk kita semua berbicara mengenai keperluan untuk lebih banyak rasa hormat dan profesionalisme dalam media sukan.”
Barbora menegaskan bahawa komen-komen yang tidak berkaitan dengan prestasi sukan hanya mengalih perhatian daripada intipati sebenar sukan itu sendiri dan usaha keras yang dibawa oleh setiap atlet ke gelanggang.
“Situasi seperti ini mengganggu fokus kita sebagai atlet dan memberi kesan negatif terhadap cara kita dilihat. Saya sangat mencintai tenis, dan saya ingin melihatnya dihormati dengan cara yang menggambarkan komitmen yang kita buat untuk bertanding pada tahap tertinggi,” kata Barbora lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




