Barca kembali ke Camp Nou pada Februari

Barca  kembali ke Camp Nou pada Februari

Madrid: Barcelona berkata, kepulangan mereka ke Camp Nou mungkin ditunda sehingga sekurang-kurangnya pertengahan Februari selepas stadium ikonik itu dalam proses naik taraf dan pemodenan.

Gergasi Sepanyol itu dalam kenyataan semalam menjelaskan aksi La Liga di tempat sendiri menentang Valencia dan Alaves yang dijadualkan pada 26 Januari dan 2 Februari bakal berlangsung di venue sekarang iaitu Stadium Olympik Montjuic .

Barcelona memetik peraturan Uefa yang melarang kelab menukar stadium ketika fasa pembukaan Liga Juara-Juara dan kesukaran logistik dan penambahan jika mereka menggunakan dua stadium pada masa sama.

Camp Nou sebaliknya akan menjadi gelanggang kelab Catalan itu dalam aksi liga menentang Rayo Vallecano pada 16 Februari.

Barcelona bulan lalu berkata mereka menyasarkan kembali ke Camp Nou pada penghujung 2024 dengan kapasiti awal 62,000 tempat duduk.

Stadium itu dijadualkan lengkap sepenuhnya pada musim panas 2026 dengan kapasiti 105,000 tempat duduk apabila projek yang digelar “Espai Barca” selesai sejurus bumbung stadium dipasang.

Kerja-kerja naik taraf Camp Nou bermula pada Jun 2023 tetapi kemajuannya terjejas akibat masalah permit dan komplen mengenai situasi kerja.

Susulan itu Barca meminta kontrak mereka menggunakan Stadium Olimpik Montjuic dilanjutkan sehingga 31 Mac 2025 sebagai langkah berjaga-berjaga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top