Barcelona batal aksi pramusim di Jepun

Barcelona batal aksi pramusim di Jepun

Barcelona: Barcelona membatalkan perlawanan persahabatan pramusim menentang kelab Jepun, Vissel Kobe yang dijadual berlangsung Ahad ini, susulan “pelanggaran kontrak serius” oleh penganjur jelajah dan tidak menolak kemungkinan membatalkan aksi seterusnya di Korea Selatan.

Kelab gergasi La Liga itu sepatutnya memulakan kempen pramusim mereka di Kobe menentang kelab J-League yang pernah dibarisi bekas bintang Barca, Andres Iniesta.

“Barcelona mengumumkan bahawa kami terpaksa menarik diri daripada perlawanan yang dijadualkan Ahad ini di Jepun akibat pelanggaran kontrak serius oleh pihak penganjur,” kata kenyataan rasmi kelab itu.

Bagaimanapun, Barca memaklumkan mereka masih mempertimbangkan untuk meneruskan siri jelajah musim panas di Korea Selatan, di mana dua aksi dijadual berlangsung menentang FC Seoul pada 31 Julai dan Daegu FC pada 4 Ogos, bergantung kepada syarat yang ditetapkan dipatuhi pihak penganjur.

“Jika syarat-syarat itu dipenuhi, kelab akan berlepas ke Korea Selatan dalam beberapa hari akan datang. Barcelona amat kesal dengan insiden ini dan impaknya kepada ribuan peminat setia Barca di Jepun,” kata kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Barca turut merancang mengadakan perlawanan menentang kelab Serie A, Como pada 10 Ogos di Camp Nou yang selesai dinaik taraf.

Namun, disebabkan kegagalan memperoleh permit yang diperlukan, perlawanan itu terpaksa dipindahkan ke Stadium Johan Cruyff berhampiran pusat latihan kelab.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top