Barcelona benam Bayern 4-1

Barcelona benam Bayern 4-1

Barcelona: Jurulatih Barcelona Hansi Flick berkata masih terlalu awal mengatakan pasukannya adalah pencabar untuk memenangi Liga Juara-Juara walaupun selepas mereka menewaskan pemenang enam kali, Bayern Munich 4-1 awal pagi tadi.

Kali terakhir pasukan Catalan memenangi trofi itu pada 2015 dan tewas enam perlawanan sebelumnya berdepan Bayern tetapi mereka menumpaskan pasukan yang mara ke separuh akhir musim lalu di stadium Olimpik dengan Raphinha menjaringkan hatrik.

“Masih terlalu awal (untuk mengatakan kami pencabar), kami baru memulakan musim, kami berada di atas jalan yang panjang dalam La Liga dan Liga Juara-Juara.

“Kami menyasarkan perlawanan demi perlawanan dan kami sedang mempersiapkan diri untuk itu,” kata Flick.

Pendahulu La Liga, Barcelona akan berdepan juara Sepanyol dan Eropah, Real Madrid pada awal pagi Ahad ini dalam La Liga, pertarungan Clasico yang menarik dan akan menjadi satu lagi ujian penting buat pasukan Flick.

“Kami jelas sangat bangga dengan keputusan malam ini, tetapi pada hari Ahad nanti, ia akan berterusan, satu lagi perlawanan sukar menentang pasukan yang namanya dikenali semua.

“Kami mahu mempamerkan satu lagi persembahan hebat dengan keputusan seperti ini, pasukan berhak mendapatnya dan juga sambutan selepas perlawanan,” katanya.

Raphinha membuka jaringan pada minit pertama dan selepas Harry Kane menyamakan kedudukan, Robert Lewandowski mengembalikan kelebihan kepada Barca.

Dua lagi jaringan oleh bekas pemain sayap Leeds United, Raphinha, pada penampilan ke-100nya bersama kelab itu, mengesahkan kemenangan bergaya Barcelona.

“Raphinha bagi saya adalah contoh yang sangat baik tentang cara pasukan bekerja. Raphinha adalah seseorang yang sentiasa memberikan segala-galanya dalam latihan dan juga dalam perlawanan dia bermain dengan intensiti yang tinggi.

“Dia sangat penting bagi kami, dia menekan, dan hari ini kita juga melihat dia menjaringkan gol. Dia mempunyai dinamik yang baik dengan bola dan hari ini bermain dengan cemerlang.

“Dia adalah pemain yang mampu bertahan dan menyerang, dengan intensiti, dinamik, dan teknik yang hebat,” kata Flick.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top