Barcelona berdepan Real di final Copa del Rey

Barcelona berdepan Real di final Copa del Rey

Madrid: Barcelona akan membuat perhitungan dengan saingan mereka, Real Madrid, di final Copa del Rey selepas Ferran Torres memastikan kemenangan 1-0 ke atas Atletico Madrid awal pagi tadi untuk melangkah ke final dengan agregat 5-4.

Pasukan yang memegang rekod dengan 31 kemenangan Copa del Rey itu lebih dominan dalam pertembungan di Stadium Metropolitano selepas seri 4-4 dalam perlawanan pertama, dan kekalahan itu meninggalkan Atletico bimbingan Diego Simeone dengan sedikit harapan lagi untuk musim ini.

Sebaliknya, Barcelona kini mengejar kemungkinan merangkul empat gelaran musim ini dan tidak tewas sejak awal tahun 2025, meneruskan rekod tanpa kalah kepada 21 perlawanan.

Atletico adalah pasukan terakhir yang menewaskan Barcelona, memenangi perlawanan sebelum Krismas untuk menduduki tangga teratas La Liga, tetapi kini mereka ketinggalan sembilan mata di belakang pasukan Hansi Flick dengan sembilan perlawanan berbaki.

“Kita tidak boleh bertenang kita perlu terus percaya dan bekerja dengan rendah hati dan saya pasti perkara yang baik akan datang.

“Jika final sudah menjadi motivasi yang besar, bayangkan bermain menentang saingan utama anda,” kata Torres.

Madrid menewaskan Real Sociedad 5-4 secara agregat selepas seri 4-4 pada hari kelmarin di Santiago Bernabeu.

Atletico tersingkir dari Liga Juara-Juara (UCL) melalui sepakan penalti oleh saingan mereka, Real Madrid, pada pusingan 16 terakhir dan Copa del Rey menjadi peluang paling realistik mereka untuk memenangi piala musim ini namun impian itu tidak mungkin dapat direalisasikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top