Barcelona: Barcelona dilaporkan mahu mengemukakan tawaran rendah kepada Manchester United bagi mendapatkan Marcus Rashford.
Rashford, 28, sedang menikmati kehidupan positif di Sepanyol selepas meledak tujuh gol dan mencatat lapan bantuan gol dalam 27 perlawanan di semua pertandingan.
Barcelona berminat untuk mendapatkan Rashford secara perpindahan tetap pada musim panas ini, namun tidak pada harga yang dipersetujui sebelum ini.
Manchester United meletakkan klausa pilihan membeli bernilai £26 juta (RM141.5 juta) dalam perjanjian pinjaman, namun pasukan kendalian Hansi Flick kini sedang berunding untuk menurunkan nilai itu.
Menurut talkSPORT, kedua-dua kelab sedang berbincang mengenai terma baharu bagi melengkapkan perpindahan berkenaan.
Rashford dikatakan terdesak untuk menyertai Barcelona dan menjadikan bandar itu sebagai kediaman tetapnya.
Presiden kelab, Joan Laporta, turut sependapat dan sudah memberitahu Rashford bahawa dia dialu-alukan untuk terus kekal bersama kelab itu.
Manchester United, yang kini sudah berpisah dengan Ruben Amorim, juga terbuka untuk menjual pemain itu walaupun berlaku pertukaran pengurus.
Rashford sebelum ini diketepikan oleh Amorim musim lalu sebelum dipinjamkan ke Aston Villa 12 bulan lalu bagi mengembalikan prestasi terbaiknya.
Di Villa, dia menjaringkan empat gol dan mencipta enam bantuan gol daripada 17 perlawanan, namun tempoh pinjamannya berakhir lebih awal akibat kecederaan.
United lebih gemar menjual Rashford secara kekal, namun Barcelona masih berdepan kekangan kewangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




