Barcelona raih kejuaraan LaLiga ke-28

Barcelona raih kejuaraan LaLiga ke-28

PENGENDALI Barcelona, Hansi Flick, meluahkan rasa bangga terhadap prestasi menyeluruh skuadnya selepas menamatkan musim gemilang dengan menjulang gelaran LaLiga Sepanyol ke-28 buat kelab Catalan itu.

Kemenangan 2-0 ke atas Espanyol di Estadi Cornellà-El Prat, pada Jumaat menjadi penutup sempurna musim dominan Blaugrana.

Barcelona mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan domestik sejak lewat Disember, serta mencatatkan kejayaan berganda apabila turut menjulang Piala Super Sepanyol pada Januari dan Piala Raja Sepanyol selepas menewaskan seteru utama, Real Madrid, 3-2 di pentas final pada 27 April lalu.

“Saya rasa terutamanya pada separuh kedua musim ini, kami benar-benar luar biasa. Kami tidak tewas dalam satu perlawanan pun, dan itu sungguh hebat.

“Tahniah kepada semua pemain, kelab, dan para penyokong. Kami sangat berpuas hati dengan apa yang telah kami capai,” kata Flick.

Pada masa sama, Flick turut menyentuh mengenai nilai kekeluargaan yang wujud dalam pasukan bimbingannya, sesuatu yang menurutnya menjadi asas kejayaan Barcelona musim ini.

“Saya rasa saya tidak pernah cukup masa untuk menghuraikannya sepanjang musim, tetapi saya sangat menghargai budaya dan semangat kekeluargaan yang telah kami bina. Ia satu usaha yang dilakukan dengan penuh semangat dan mentaliti hebat.

“Sungguh menyenangkan melihat bagaimana kami saling menjaga antara satu sama lain. Ia sesuatu yang unik, dan saya amat bersyukur,” katanya lagi.

Perlawanan menentang Espanyol, pemain muda sensasi, Lamine Yamal, turut menyerlah apabila membuka jaringan buat pelawat pada minit ke-53 separuh masa kedua.

Namun, Flick menegaskan kejayaan Barcelona pada musim ini bukan hasil usaha seorang pemain semata-mata, sebaliknya kerjasama berpasukan.

“Ini adalah kejuaraan LaLiga Barcelona, bukan mengenai satu individu. Sudah tentu Lamine pemain penting, tetapi kami adalah satu pasukan dan itu paling utama.

“Semua pemain telah memainkan peranan masing-masing dengan sangat baik. Inilah yang kami sasarkan sejak awal, memberikan versi terbaik buat kelab ini. Peminat-peminat berhak berbangga,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai jaringan Yamal, Flick berkata, “Lamine sering menjaringkan gol seperti itu dalam latihan.

“Dia melatih gerakan yang sama setiap hari. Tapi hari ini, ia benar-benar sempurna.”

Barcelona selepas ini akan berdepan Villareal di Stadium Olimpik Lluís Companys pada 19 Mei depan.

Scroll to Top