GERGASI La Liga, Barcelona disahkan tidak akan dikenakan sebarang penalti kewangan sekiranya pihak pengurusan kelab memutuskan untuk tidak menandatangani Marcus Rashford secara kekal.
Penyerang antarabangsa England itu kini berada di pertengahan tempoh pinjaman selama semusim di kelab Catalan tersebut dari Manchester United dan telah mempamerkan impak memberangsangkan sejak ketibaannya.
Setakat ini, Rashford telah meledak 10 gol dan menyumbang 13 bantuan jaringan (assist) dalam semua pertandingan, sekaligus membantu Barcelona menerajui carta La Liga dengan kelebihan satu mata di hadapan musuh tradisi, Real Madrid.
Difahamkan, Barcelona memegang pilihan pembelian bernilai £26 juta (RM156 juta) untuk menjadikan perpindahan itu kekal.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Sukan Barcelona, Deco yang memperincikan terma perjanjian sementara tersebut.
Bercakap kepada akhbar SPORT, bekas pemain tengah Chelsea dan Portugal itu menafikan wujudnya klausa denda jika Rashford tidak ditandatangani secara tetap.
“Tidak, ini adalah satu pinjaman dan kami mempunyai pilihan (untuk membeli),” jelasnya.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada kelab berhasrat untuk mengekalkan pemain berusia 28 tahun itu bagi jangka masa panjang, Deco memberikan respons positif.
“Ya, sudah pasti. Bukan mudah untuk dia datang ke sini. Dia telah bermain di tahap yang sangat tinggi dengan tuntutan yang besar di kelab seperti Manchester United.
“Kemudian dia menghabiskan enam bulan di Aston Villa dan melakukan kerja yang sangat baik di sana. Malah, Aston Villa mahu mengekalkannya jika keadaan mengizinkan. Saya tahu perkara ini kerana saya telah bercakap dengan pihak di sana.
“Tetapi dia hanya mahu datang ke Barcelona, dan itu adalah satu perkara yang sangat positif. Dia adalah pemain yang banyak menyumbang kepada pasukan,” ujar Deco.
Dalam pada itu, Deco turut mengulas mengenai situasi jentera serangan pasukan memandangkan masa depan Robert Lewandowski masih tidak menentu.
Tegas Deco, pihak kelab tidak perlu terlalu obses mencari penyerang baharu memandangkan prestasi pasukan kini berada pada tahap terbaik.
“Kami mempunyai Ferran (Torres) dan Rashford; kami akan lihat apa keputusan yang boleh dibuat.
“Jika kita bercakap tentang penyerang terbaik, pemain nombor 9 terbaik dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini, ia adalah Robert (Lewandowski). Tiada siapa yang setanding dengannya.
“Barcelona perlu mencari pemain dengan keupayaan teknikal, kemampuan untuk membentuk persefahaman dengan rakan sepasukan dan kebolehan mencari penyelesaian di padang,” katanya.
Rashford sebelum ini dilaporkan telah menyatakan hasratnya untuk kekal di Camp Nou, menjadikan potensi kepulangannya ke Old Trafford pada musim panas ini dilihat semakin samar.
Ringkasan AI
- Barcelona tidak akan dikenakan penalti kewangan jika tidak menandatangani Marcus Rashford secara kekal
- Rashford telah meledak 10 gol dan memberi 13 assist selama pinjaman di Barcelona
- Barcelona mempunyai pilihan pembelian Rashford bernilai £26 juta
- Pengarah Sukan Barcelona, Deco, menafikan wujudnya klausa denda untuk tidak membeli Rashford
- Deco memberikan respons positif tentang hasrat menjadikan Rashford pemain jangka panjang di Barcelona



