am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) menegaskan semula komitmennya terhadap proses rundingan damai di selatan Thailand dengan menyatakan bahawa peningkatan keganasan mutakhir di wilayah bergolak itu mencerminkan kegagalan rundingan mencapai kemajuan, bukannya penolakan terhadap dialog.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Sekretariat Dialog Damai BRN menyifatkan perkembangan keselamatan terkini di Patani sebagai bukti bahawa konflik yang berlarutan sejak beberapa dekad lalu masih belum diselesaikan dan belum menunjukkan tanda-tanda penyelesaian yang mampan.
Kumpulan itu berkata, perjuangan bersenjatanya yang didakwa memasuki tahun ke-23 sejak 2004, terus menyasarkan pasukan keselamatan Thailand, kumpulan bersenjata yang disokong kerajaan serta projek kapitalis yang didakwa mengancam mata pencarian, alam sekitar dan identiti masyarakat Melayu Islam Patani.
BRN turut mendakwa sayap bersenjatanya menghormati dan mematuhi Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (International Humanitarian Law, IHL).
Pergerakan itu menggesa orang awam mengutamakan keselamatan dengan mengelakkan kawasan yang berpotensi menjadi zon operasi ketenteraan, selain menasihatkan mereka supaya tidak menyertai pasukan keselamatan kerajaan Thailand atau terbabit dalam sebarang aktiviti yang boleh ditafsirkan sebagai menyokong operasi keselamatan kerajaan.
Menurut kenyataan itu, peningkatan ketegangan dan keganasan sejak kebelakangan ini sebahagiannya berpunca daripada kemajuan yang perlahan dalam proses dialog damai.
Bagaimanapun, BRN menegaskan rundingan kekal sebagai saluran paling sesuai untuk mencapai penyelesaian politik yang bermaruah, adil dan berkekalan terhadap konflik berkenaan.
Katanya, penyelesaian politik antara rakyat Patani dan kerajaan Thailand adalah penting bagi mewujudkan keamanan serta keselamatan yang tulen dan berkekalan di rantau itu.
BRN turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas peranannya yang berterusan sebagai fasilitator rundingan damai, selain pembabitan masyarakat antarabangsa yang menurutnya menunjukkan profesionalisme serta komitmen aktif dalam usaha menyelesaikan konflik berpanjangan itu.
Kumpulan itu turut berharap proses damai akan terus diperkukuhkan dengan sokongan meluas masyarakat Patani bagi mempercepatkan usaha menamatkan konflik.
Kenyataan terbaharu itu dikeluarkan ketika ketegangan di wilayah sempadan selatan Thailand semakin memuncak susulan beberapa siri serangan di Narathiwat, Pattani dan Yala sepanjang minggu lalu, termasuk letupan bom tepi jalan di Tak Bai pada 29 Jun yang mencederakan dua rakyat Malaysia.
Konflik di selatan Thailand telah berlarutan lebih dua dekad dengan kumpulan pemisah menuntut autonomi lebih besar atau kemerdekaan bagi wilayah yang majoritinya dihuni masyarakat Melayu Islam iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian Songkhla.
Keganasan itu meragut lebih 7,000 nyawa sejak konflik kembali memuncak pada 2004.
Malaysia berperanan sebagai fasilitator rundingan damai antara kerajaan Thailand dan BRN sejak 2013.
© New Straits Times Press (M) Bhd




