Kuala Lumpur: ZUS Coffee membuat laporan polis berhubung insiden membabitkan seorang pelanggannya yang bertindak menyimbah minuman ke arah barista di salah satu cawangan syarikat itu, dalam kejadian yang tular baru-baru ini.
Menurut kenyataan, laporan itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan melindungi privasi pekerja terbabit yang dikenali sebagai Zurista.
“Zurista berkenaan masih menjadi sebahagian daripada ZUS Coffee dan kini sedang cuti bergaji bagi memberi ruang untuk pulih daripada kejadian itu.
“Kebajikan dan kesejahteraannya kekal menjadi keutamaan kami,” menurut kenyataan ZUS Coffee.
Menurut ZUS Coffee, pihaknya tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk tingkah laku agresif dan memastikan semua premisnya kekal selamat untuk pelanggan dan pekerja.
Syarikat itu turut menegaskan akan memperkukuh latihan serta sistem sokongan dalaman bagi membantu pekerja mengendalikan situasi mencabar dengan lebih profesional dan berempati.
ZUS Coffee juga menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan video atau gambar yang boleh mendedahkan identiti mana-mana individu.
“Tindakan itu boleh memberi kesan kepada kesihatan mental,” katanya.
Sebelum ini, tular rakaman menunjukkan seorang pelanggan wanita dipercayai warga asing mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menyimbah minuman ke arah barista.
Rakaman itu kemudiannya tular di media sosial dengan kebanyakan netizen menyebelahi barista.
Berita berkaitan
• ZUS COFFEE lindungi kakitangan, siasat insiden tular
© New Straits Times Press (M) Bhd



