am@hmetro.com.my
Raub: Luluh hati isteri apabila kekasih hati yang dinikahi empat bulan lalu hilang sekelip mata dipercayai dihanyutkan arus deras ketika beriadah di Pusat Rekreasi Jeram Besu, Sega, di sini, semalam
Mangsa, Mohamat Firdarus Jamaidi, 25, seorang juruteknik yang bekerja di Johor Bahru dan berasal dari Sipitang, Sabah, hanyut ketika berada di kawasan jeram bersama isterinya, Putri Nursyafika Yasmin Azizan Shah, 27, serta beberapa ahli keluarga lain.
Putri Nursyafika berkata, sebelum kejadian mereka singgah menikmati durian di kebun milik mentua kakaknya sebelum beriadah di jeram berkenaan.
“Ketika itu keadaan air kelihatan jernih dan tidak berbahaya, paras air hanya setakat paha dan kami tidak mandi, sekadar bermain air di tepi sungai.
“Air nampak tenang dan saya tidak menjangka kejadian menyedihkan ini berlaku sedangkan jarak suami dengan ahli keluarga lain tidak jauh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian, suaminya dilihat sedang menghala ke tebing untuk naik ke darat dan tidak menunjukkan sebarang tanda kecemasan.
“Saya nampak dia seperti hendak naik ke darat. Tidak ada jeritan meminta tolong atau tanda mencurigakan, namun tiba-tiba dia hilang dari pandangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 1.45 petang selepas isteri mangsa membuat laporan di Balai Polis Dong.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan kerjasama agensi berkaitan, namun sehingga kini mangsa masih belum ditemui.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika beriadah di kawasan sungai dan jeram kerana arus deras boleh berlaku secara tiba-tiba walaupun air kelihatan cetek dan tenang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




