am@hmetro.com.my
Bagan Serai: Belum pun reda kesedihan kehilangan bapa tercinta, keluarga kepada Pengarang Harian Metro, Muhammad Izawan Baharin, sekali lagi diuji apabila rumah mereka di Kampung Dew, Simpang Empat Semanggol, dipecah masuk buat kali kedua dalam tempoh kurang sebulan.
Difahamkan, kejadian terbaharu berlaku malam tadi ketika rumah itu tidak berpenghuni berikutan ibu Muhammad Izawan, Saadiah Abu, 66, tinggal sementara bersama anak perempuannya di Klang selepas kematian suaminya, Baharin Ramly, 76, pada 4 April lalu.
Nurhafizah, 35, berkata dia dan ibunya menyedari rumah dipecah masuk apabila pulang ke kampung sekitar jam 11.30 malam semalam.
“Sebaik masuk, kami dapati pintu dalam rumah terbuka. Bila periksa bahagian dapur, dua jeriji tingkap sudah dibengkokkan.
“Kami percaya pencuri keluar masuk ikut tingkap itu,” katanya ketika ditemui di rumah berkenaan, hari ini.
Menurut Nurhafizah, ini kali kedua rumah itu dimasuki pencuri iaitu kali pertama awal Mei lalu, membabitkan kehilangan pemotong pokok, mesin sembur air (water jet), periuk dan beberapa barang lain.
“Kali ni pula, pencuri bawa lari tiga tong gas memasak, tungku, mesin rumput dan kipas meja. Anggaran kerugian lebih RM1,500,” katanya.
Lebih membimbangkan, katanya siasatan polis sebelum ini menemui sebuah ‘port’ dipercayai lokasi penagih dadah di kawasan kebun kelapa sawit bersebelahan rumah mereka.
“Harap polis dapat siasat secara menyeluruh dan buat rondaan lebih kerap, terutama di rumah yang ditinggalkan,” katanya.
Susulan kejadian itu dia sudah membuat dua laporan polis pada 1 Mei lalu dan hari ini serta berharap pelakunya dapat dikesan segera.
Sementara itu jiran mereka, Aisah Nayan, 79, juga pernah dipecah masuk dua kali.
Terbaru pada awal Mei lalu, difahamkan pencuri masuk melalui pintu gelongsor utama namun tidak mengalami sebarang kerugian.
Namun beberapa tahun lalu jirannya itu mengalami kerugian lebih RM 50,000 apabila sejumlah barang kemas miliknya hilang dipercayai dilarikan pencuri ketika mereka tiada di rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




