am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Sebuah bas ekspres terbabas dan terbalik di tepi laluan berhampiran Kampung Sepakat Baru, Skudai di sini pada jam 8 malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor berkata, kejadian mengakibatkan tiga mangsa tersepit selain tiga mangsa mengalami kecederaan.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.20 malam dan jentera tiba ke lokasi kejadian pada 8.29 malam.
“Kemalangan membabitkan bas ekspres yang terbabas dan terbalik di tepi jalan.
“Terdapat 10 mangsa iaitu tiga daripadanya tersepit di dalam kenderaan itu dan berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba serta orang ramai.
“Pemandu bas serta dua mangsa mengalami kecederaan namun tidak tersepit manakala empat mangsa hanya mengalami kecederaan ringan. Operasi tamat jam 9.14 malam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua mangsa diberikan rawatan oleh pihak Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS), ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan St John Ambulans bagi tindakan lanjut.
Menurutnya, selain 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, operasi juga membabitkan sebuah fire rescue tender (FRT), sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah EMRS.
© New Straits Times Press (M) Bhd




