am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), kini di fasa terakhir sebelum memperkenalkan bas elektrik tahun hadapan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, penganugerahan tender kepada syarikat itu akan dibuat dalam masa terdekat.
“Tender sudah ditutup, kita akan membuat lantikan, antara syarat utama Prasarana untuk penawaran tender ialah bas elektrik ini mesti dipasang dalam negara,” katanya pada sidang media di majlis penerimaan bas diesel Rapid Bus, di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun teknologi digunakan adalah dari negara lain tetapi bas terbabit mesti dipasang di Malaysia.
“Pemindahan teknologi ada manfaat kepada syarikat-syarikat tempatan dan rakan perniagaan tempatan diwajibkan dalam syarikat yang bakal dilantik,” katanya.
Loke berkata, inisiatif ini turut disokong dengan pembinaan fasiliti pengecasan serta latihan teknikal dan penyelenggaraan yang sedang giat dilaksanakan.
Pada majlis semalam, Rapid Bus menerima kumpulan akhir bas diesel di bawah program penggantian bas yang akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, pembelian 310 unit bas diesel ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk menaik taraf dan memperkasakan sistem pengangkutan awam negara.
“Program ini bertujuan menggantikan bas-bas lama yang telah beroperasi sejak sekian lama dan akan memulakan operasi secara berperingkat mulai penghujung Julai 2025 hingga suku pertama tahun 2026,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Amir Hamdan berkata, penerimaan bas kumpulan akhir ini adalah sebahagian daripada pelan peralihan strategik untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dan selamat.
“Walaupun kami sedang merancang peralihan ke bas elektrik pada masa hadapan, bas diesel ini amat diperlukan untuk menampung keperluan operasi yang sedia ada.
“Inisiatif ini juga bertujuan menggantikan bas-bas lama yang tidak lagi dapat memenuhi pelan operasi semasa sekali gus meningkatkan pengalaman pengguna,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd