Penyanyi Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq diumumkan sebagai pemenang trofi Selebriti Couple Goals Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) yang berlangsung malam tadi.
Walaupun kedua-duanya tidak pernah secara rasmi mengesahkan hubungan cinta, kemesraan mereka dalam pelbagai kolaborasi komersial nyata berjaya memikat hati peminat.
Gandingan mereka yang dikenali sebagai BASS itu meraih undian tertinggi, sekali gus menewaskan barisan calon hebat lain seperti Nabil Mahir dan Ayda Jebat, Fattah Amin dan Amira Othman, Aidil Aziz dan Fasha Sandha, Keith Foo dan Riena Diana, Dini Schatzmann dan Janna Nick, Syamel dan Ernie Zakri, Syafiq Kyle dan Mimi Lana, Akhyar Rashid dan Eyka Farhana serta Datuk Azraf dan Datin Intan Najuwa.
“Saya bersyukur sangat, saya tak tahu sebenarnya ada anugerah Selebriti Couple Goals Terhangat. Saya harap orang ramai ambil sudut positif.
“Semua yang tercalon jauh lebih ‘sweet’, ada yang dah berkahwin. Tapi saya ambil positif, mungkin ini rezeki saya dan Syed Saddiq selepas kami berkolaborasi untuk pelbagai jenama.
“Saya harap apa yang saya dan Saddiq tonjolkan dapat memberikan impak yang baik dan diambil daripada sudut pandang positif,” katanya.
Meskipun dilanda pelbagai spekulasi hubungan dan gosip hangat, kemenangan ini memperkukuh lagi daya tarikan pasangan ini di mata umum, khususnya dalam dunia media sosial dan pemasaran jenama.
Bagaimanapun, suasana sedikit janggal tercetus apabila Bella secara langsung menyerahkan trofi kemenangan kepada Sophia Albarakbah, pemenang kategori Selebriti Feminin Terhangat.
Diminta mengulas tentang insiden tersebut, Bella hanya membuat isyarat tangan tanda maaf dan berlalu pergi tanpa memberi sebarang kenyataan.
Tindakan itu mencuri perhatian warganet, namun ramai memuji ketenangan Bella dan sikap profesional yang ditonjolkan.
Untuk rekod, AMT 2025 yang kembali selepas sembilan tahun memberi pengiktirafan kepada personaliti hiburan dan media sosial berdasarkan impak populariti serta sokongan peminat.