Bateri terpakai RM72,000 dirampas

Bateri terpakai RM72,000 dirampas

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas bateri terpakai bernilai anggaran bernilai RM72,000.

Sisa elektronik (e-waste) itu dirampas dalam operasi di dua kilang pelupusan barang terpakai di kawasan perindustrian Chendering, di sini, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, Op Hazard dijalankan PGA bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuala Terengganu di dua premis berkenaan secara berasingan antara 1.30 petang hingga 2.30 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa tong dan guni mengandungi bateri terpakai ditemui dalam premis, tanpa dokumen yang sah daripada JAS.

“Dua lelaki berumur 56 dan 49 tahun yang menjadi penjaga kepada kilang terbabit ditahan. Kes disiasat dibawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berjadual) 2025,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Chendering untuk tindakan lanjut dan diserahkan kepada JAS Kuala Terengganu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top