SHAH ALAM– Batik Air mengumumkan penyambungan semula penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX), Osaka bermula 15 Disember ini menggunakan pesawat Airbus A330.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, laluan berkenaan merupakan antara yang paling dinanti dalam rangkaian Batik Air selepas ia dihentikan pada Disember tahun lalu.
“Jepun kekal sebagai destinasi impian bagi ramai rakyat Malaysia dan Osaka mempunyai daya tarikan unik dengan sejarah, budaya bandar serta sajian makanannya yang tersendiri.
“Dengan memperkenalkan semula laluan ini menggunakan A330, kami bukan sahaja menghubungkan semula dua bandar dinamik, malah menawarkan perjalanan lebih selesa dan mudah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, laluan tersebut akan beroperasi tiga kali seminggu dengan 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 365 kelas ekonomi, sekali gus memberi lebih pilihan kepada penumpang.
“Selain penerbangan harian Kuala Lumpur–Tokyo (Narita), penumpang kini mempunyai fleksibiliti sama ada masuk ke Jepun melalui Osaka dan pulang dari Tokyo atau sebaliknya.
“Dengan kapasiti lebih besar melalui Airbus A330, kami yakin dapat menarik lebih ramai penumpang pada masa akan datang,” ujarnya.
Tambahnya, Osaka yang dikenali sebagai ‘dapur Jepun’ sentiasa menjadi tarikan pelancong dengan sajian terkenal seperti Takoyaki dan Okonomiyaki selain restoran bertaraf Michelin.
“Selain makanan, pelancong juga boleh menikmati keindahan Istana Osaka, berjalan di kawasan neon Dōtonbori dan mengunjungi Universal Studios Japan.
“Semua tarikan ini menjadikan Osaka destinasi pelancongan utama bukan sahaja untuk rakyat Malaysia malah pengunjung antarabangsa,” jelasnya.
Beliau menegaskan, penyambungan semula laluan itu turut menyokong usaha pertumbuhan strategik Batik Air di Asia Utara dan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Jepun.
“Jepun masih menjadi destinasi pilihan terutama ketika musim sejuk dan bunga sakura manakala Malaysia menerima lebih ramai pelancong Jepun yang tertarik dengan pantai, bandar warisan serta kepelbagaian budaya.
“Sempena ‘Tahun Melawat Malaysia 2026’, laluan ini diyakini mampu merancakkan lagi ketibaan pelancong Jepun ke negara ini,” katanya.
Tiket penerbangan Kuala Lumpur–Osaka ditawarkan bermula RM599 bagi kelas ekonomi dan RM3,599 untuk kelas perniagaan sehala termasuk semua caj.