Batik Air tawar tambang promosi kepada 250,000 pemegang kad ESSAD

Batik Air tawar tambang promosi kepada 250,000 pemegang kad ESSAD
Kerjasama dijangka mampu tarik lebih ramai pelancong dari Asia Barat ke nagara ini.

Kerjasama dijangka mampu tarik lebih ramai pelancong dari Asia Barat ke nagara ini.

SHAH ALAM – Batik Air menjalinkan kerjasama strategik bersama ESSAD, sebuah program keistimewaan berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai usaha menyokong pertumbuhan pelancongan masuk ke Malaysia menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Batik Air dalam satu kenyataan berkata, ia akan menawarkan keistimewaan perjalanan dan tambang promosi eksklusif kepada lebih 250,000 pemegang kad ESSAD yang merangkumi kakitangan kerajaan, pekerja sektor swasta serta ahli keluarga mereka.

“Usaha berkenaan turut memperkukuh matlamat kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan merancakkan semula ekonomi pelancongan negara menjelang VM2026.

“Batik Air yang mengendalikan penerbangan dari Dubai ke Kuala Lumpur dilihat berpotensi menarik lebih ramai pelancong Asia Barat susulan minat yang tinggi terhadap kepelbagaian budaya dan kemudahan pelancongan halal di Malaysia,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Pihak syarikat turut memaklumkan bahawa kerjasama itu akan memperkukuh keterlihatan Malaysia di pasaran Teluk dengan sambungan penerbangan mudah ke destinasi lain seperti Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching.

“Langkah itu secara tidak langsung dapat menggalakkan tempoh penginapan lebih lama dan penerokaan meluas di seluruh negara sekali gus memberi manfaat kepada perniagaan serta komuniti tempatan.

“Batik Air komited untuk terus bekerjasama dengan agensi kerajaan, organisasi swasta serta rakan antarabangsa dalam menyokong agenda VM2026 dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pilihan pelancong rantau ini,” katanya.

Scroll to Top