Batik kekal jadi tumpuan

Batik kekal jadi tumpuan

hafizithnin@mediaprima.com.my

Wanita berusia 36 tahun ini mengakui dia tidak puas ketika menjadi seorang tenaga pengajar di sebuah kolej di dalam seni rekaan grafik tanpa mempraktikkan dunia kreatif yang dimilikinya sejak dari universiti.

Selama setahun anak kelahiran Johor Bahru ini mengajar di dalam bidang grafik dan ilustrasi. Hakikatnya dia memiliki dua bidang pendidikan yang berbeza ketika di universiti.

Pertama, dia adalah pemegang diploma di dalam jurusan seni fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2010 dan kemudian menggenggam ijazah sarjana muda dalam bidang grafik dan ilustrasi dari universiti sama pada 2013.

Bagi Nur Zulifah Hamzah, dua bidang itu sebenarnya boleh diadunkan untuk menzahirkan satu karya fesyen yang cukup menarik kerana ia mempunyai kesinambungan yang baik.

“Selepas tamat belajar saya bekerja dengan pelbagai entiti antaranya menjadi pensyarah di sebuah kolej swasta. ketika itu, saya merasa tidak puas kerana hanya mengajar tetapi tidak mempraktikkan kerja seni yang sememangnya begitu dekat dengan jiwa.

“Kemudian, saya bekerja sepenuh masa dan juga secara bebas dengan sebuah syarikat fesyen yang mengalas tugas sebagai pereka fesyen. Pada masa yang sama saya juga seorang yang gemar menyertai pertandingan rekaan fesyen,” katanya.

Katanya, pada 2022 dia menyertai satu pertandingan rekaan fesyen. Syarat di dalam pertandingan itu, peserta perlu merakam video proses penghasilan karya yang ingin dipertandingkan.

“Bagi menyertai pertandingan itu, saya mereka sebuah beg tangan yang mempunyai elemen batik tempatan. Namun, saya gagal untuk menjadi pemenangnya. Jadi, saya kongsikan video itu di media sosial.

“Tanpa disangka, video itu menjadi tular dan mendapat 20 tempahan daripada warga maya. Saya masih ingat lagi, ketika itu pada Oktober 2022. Awalnya saya merasakan ia mungkin hanya akan tular untuk seketika sahaja. Jadi, saya tidak begitu serius untuk menjadikannya sebagai satu bidang kerjaya,” katanya.

Ceritanya lagi, menjelang Januari 2023 permintaan pelanggan untuk beg tangan berasaskan batik yang dihasilkannya begitu tinggi. Sehingga dia tidak menang tangan untuk menghasilkannya.

“Saya masih ingat ketika itu, bilik tidur adalah ruang operasi untuk saya mereka bentuk beg, membuat rekaan corak dan kerja-kerja menampal fabrik pada beg yang dihasilkan.

“Suami saya turut menjadi pembantu untuk kerja-kerja menampal ketika itu kerana sambutan yang diterima semakin hari semakin tinggi. Jadi, saya melihat ia adalah peluang yang baik untuk diteruskan,” katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, akhirnya dia memutuskan untuk membuka sebuah studio untuk beroperasi dan hanya menggunakan modal RM3,000 untuk membeli sebuah mesin jahit yang bukan khusus untuk jahitan beg.

“Dari semasa ke semasa, tempahan yang diterima semakin baik dan saya mula membeli sebuah mesin jahitan baharu yang khusus untuk menjahit beg. Kemudian, mula menggajikan lima orang pekerja sehingga ke hari ini.

“Pada saya mungkin kelebihan beg tangan yang dihasilkan saya mendapat sambutan kerana ia mempunyai motif batik dan boleh direka khas mengikut kehendak pelanggan,” katanya.

Katanya, beg tangan yang dihasilkan juga turut mendapat pembeli dalam kalangan golongan ahli politik yang ingin mempromosikan batik kepada umum menerusi gaya harian mereka.

“Sudah beberapa kali saya melihat beg sentuhan saya ini ditayangkan di televisyen ketika persidangan parlimen. Pada saya ia satu pencapaian yang manis kerana dapat mengangkat seni batik di dalam fesyen pada hari ini.

“Malah, saya juga mengembangkan kepada tekstil yang lain iaitu songket. Jadi, rekaan beg yang dihasilkan oleh saya boleh digabungkan jenis tekstil batik atau songket yang diinginkan pelanggan secara eksklusif,” katanya.

Kemampuan Nur Zulifah di dalam bidang rekaan beg batik dan songket tidak hanya untuk perniagaan, malah dia juga membuka kelas kepada orang ramai terutama golongan suri rumah dan ibu tunggal untuk mempelajari teknik pembuatan aksesori itu.

Katanya, hampir setiap bulan dia mengadakan kelas terbuka kepada orang ramai dan pernah juga dijemput oleh pelbagai pihak untuk mengadakan bengkel.

“Saya gembira melihat peserta kursus yang menyertai kelas saya mampu membuka perniagaan di dalam bidang ini dan memberi pendapatan sama ada sampingan atau tetap kepada mereka.

“Pada saya tiada istilah persaingan kerana setiap individu mempunyai idea kreatif masing-masing di dalam dunia fesyen ini. Malah, saya merasakan perkongsian ilmu itu yang bermanfaat mampu menjadikan rezeki saya lebih diberkati,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top