khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penghasilan sesebuah karya batik perlu dibuat berasaskan kepada minat dan tidak boleh dipaksa khususnya apabila ia membabitkan golongan muda.
Tokoh Kraf Negara, Ibrahim Deraman, 69, berkata, walaupun segala pendedahan diberikan kepada golongan muda berkaitan karya batik, ia tidak akan berjaya dihasilkan jika tiada minat yang mendalam dalam diri mereka terhadap seni ini.
“Karya batik ini bergantung kepada minat. Kalau minat, segala benda pun jadi. Kalau tidak minat, segala pendedahan yang dibuat tak akan jadi atau tak boleh buat.
“Batik ini sebenarnya payah dibuat, tapi kalau orang tengok nampak mudah. Itu yang menyebabkan orang tidak berminat untuk menceburi bidang membuat batik ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Malaysia International Craft Fair (MICF) 2026 di Kompleks Kraf.
Majlis perasmian dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chiew Choon Man.
Hadir sama, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Abdul Halim Ali.
MICF 2026 ini berlangsung selama 12 hari bermula pada 24 September hingga 5 Oktober 2026, dari jam 10 pagi hingga 10 malam di Kompleks Kraf.
Dalam majlis itu, Ibrahim yang merupakan penyandang Anugerah Tukang Ulung Batik Terap Tahun 2015 yang juga Adiguru Kraf Batik Terap 2019 diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kraf Negara 2026.
Ibrahim mempunyai kepakaran dalam menghasilkan pelbagai teknik batik seperti batik blok berlapis, batik retak seribu dan batik ‘discharge’.
Ia membolehkan Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Pok Him menerima watikah penganugerahan berserta pingat, wang tunai berjumlah RM60,000, persalinan pakaian berserta songket.
Mengulas lanjut, Ibrahim yang mempunyai lapan orang anak berkata, orang ramai kini dilihat semakin berminat dengan batik yang dihasilkan di negara ini kerana penggabungan corak moden dan kontemporari.
Beliau yang sudah berkecimpung dalam seni ini sejak tahun 1970-an mengakui turut menggunakan corak seperti itu sebagai sumber inspirasinya.
“Penghasilan batik saya berdasarkan kepada gabungan moden dan kontemporari,” katanya sambil menyatakan batik yang dihasilkannya turut digunakan oleh delegasi Malaysia ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Beliau menyatakan, tiga daripada lapan orang anaknya adalah merupakan pelapis kepada pembuatan batik yang dihasilkan olehnya selama ini.
Menurutnya, tiga orang anaknya itu adalah Aziah, 43, Mohd Agil, 34, dan Afzam, 31.
Dalam pada itu, Ibrahim turut menyatakan beliau tidak menyangka akan diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kraf Negara tahun ini.
“Saya berasa gembira dan bersyukur, alhamdulillah kerana tak menjangka akan dapat anugerah ini. Saya ini orang biasa sahaja, kita hidup dalam masyarakat kampung.
“Harapan saya agar seni kraf batik warisan ini akan terus berkembang maju dan kekal terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya yang berasal dari Kampung Talak, Tumpat, Kelantan.
Dalam pada itu, Choon Man berkata, industri kraf negara mencatat nilai jualan sebanyak RM240.3 juta sehingga Julai lalu, dengan RM230.3 juta atau 96 peratus adalah daripada pasaran domestik.
Beliau berkata, angka itu menunjukkan pasaran domestik industri kraf negara ini berada dalam keadaan yang kukuh.
Bagaimanapun katanya, ruang untuk membawa kraf Malaysia lebih jauh ke pasaran dunia juga masih luas.
“Di sinilah MICF 2026 memainkan peranan yang strategik, dengan menghubungkan pengusaha tempatan kepada pembeli, pasaran dan rakan industri antarabangsa,” katanya.
Katanya, MICF 2026 membawa mesej penting bahawa warisan bukan sekadar perlu dipelihara, malah perlu diperkasa supaya terus berkembang, berinovasi dan berdaya saing.
“MICF 2026 membuktikan potensi kraftangan sebagai aset budaya serta industri global yang berdaya saing. Ia menghimpunkan 400 vendor tempatan dan antarabangsa dari lebih 20 negara dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM20 juta,” katanya.
Choon Man berkata, ia turut menjadi platform perniagaan dengan perniagaan (B2B) strategik bagi memperkasa usahawan tempatan.
“Ia dilaksanakan dengan membuka akses kepada pembeli antarabangsa dari Amerika Syarikat, Jepun, Perancis, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan, India, Vietnam, Mauritius, Filipina, Singapura dan Indonesia.
zz
“Selari dengan Kempen Melawat Malaysia 2026-2027, kita mahu kraf Malaysia menjadi sebahagian daripada pengalaman yang dibawa pulang oleh setiap pengunjung ke negara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




