Batik Madani, MFIX mampu jana ekonomi belia hingga pasaran antarabangsa

PETALING JAYA: Industri kreatif negara berpotensi menjadi sektor ekonomi bernilai tinggi menerusi pengkomersialan karya tempatan dan peluasan pasaran antarabangsa melalui dua gagasan baharu, Batik Seri Madani dan Malaysia Film Industry Expo (MFIX).

Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP), Khairul Rizam Datuk Abu Samah berkata, kedua-dua inisiatif itu dirangka bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, keusahawanan dan pemilikan harta intelek (IP) dalam kalangan belia.

Katanya, sektor kreatif bukan lagi sekadar ruang untuk berkarya, sebaliknya mempunyai potensi besar untuk menjadi sumber pendapatan dan perniagaan yang mampan.

“Fokus utama kita adalah membina jambatan daripada bakat kepada pekerjaan, dan daripada idea kepada pasaran.

“Kerjasama antara kerajaan, penggiat industri dan belia akan memastikan ekosistem ini kekal mampan serta memberi pulangan ekonomi nyata kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MFIX dicadangkan sebagai hab ekosistem nasional dan platform digital yang menghubungkan pencipta kandungan, juruvideo, animator serta penggiat teknikal belia secara terus dengan penerbit, pelabur dan pembeli kandungan antarabangsa.

Platform berkenaan turut merangkumi portal pekerjaan, latihan industri dan pitching hub, sekali gus berpotensi membuka akses pasaran lebih luas kepada bakat serta syarikat tempatan.

Sementara itu, Batik Seri Madani memberi tumpuan kepada pengkomersialan warisan batik menerusi gabungan teknik batik blok tradisional, reka bentuk kontemporari dan teknologi digital.

Inisiatif itu berpotensi melahirkan lebih ramai pembatik muda, pereka, usahawan kreatif dan pengusaha yang mampu membangunkan produk berasaskan batik untuk pasaran lebih luas.

Jelas Khiarul Rizam, cadangan berkenaan telah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Perasmian Menara FINAS Isnin lalu.-UTUSAN

Scroll to Top