Batik Run Harian Metro 2025 meriah, rancang jadikan acara tahunan- Husain Jahit

Batik Run Harian Metro 2025 meriah, rancang jadikan acara tahunan- Husain Jahit

sukan@hmetro.com.my

Picture: Aswadi Alias, Ashraf Hamzah & Raihana Mansor

Video: Khairus Ramli

Kuala Lumpur: Jika dahulu batik sinonim dengan majlis rasmi dan busana tradisional, kali ini fabrik warisan itu dibawa ke trek larian menerusi penganjuran Batik Run Harian Metro 2025 yang mencuri perhatian ribuan peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.

Larian sejauh lima kilometer itu menjadi simbol penyatuan budaya dan gaya hidup sihat apabila buat julung kali, konsep batik diketengahkan dalam acara sukan secara santai namun penuh warna.

Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit berkata, program berkenaan menerima sambutan sangat menggalakkan apabila meskipun hanya menawarkan 1,000 penyertaan namun jumlah kehadiran melebihi angka itu bagi memeriahkan Batik Run Harian Metro 2025 kali ini.

“Ini membuktikan acara seperti ini memang dinanti-nantikan orang ramai. Ia bukan saja mengangkat batik sebagai simbol budaya, malah menjadi jambatan antara warisan dan gaya hidup sihat,” katanya ketika ditemui pada program larian santai Batik Run Harian Metro 2025 di Dataran DBKL,sebentar tadi.

Turut hadir ke program terbabit adalah Ketua Pengarang Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa Media Prima Berhad, Jasbant Singh; Ketua Pegawai Operasi Print Tower Sdn Bhd (PTSB), Luqman Adrine Jaafar; Wudan selaku Pengurus Kanan Strategi Pasaran Huawei serta Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan, dan Sukan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Encik Izwan Razi.

Selain larian, acara ini turut dimeriahkan dengan pertandingan pakaian terbaik (Best Dressed) yang bertemakan batik dengan peserta tampil menerusi gaya kreatif dan beridentitikan budaya tempatan.

Sebagai tarikan istimewa kepadapeserta, Batik Run Harian Metro 2025 menampilkan cabutan bertuah dengan lebih 150 hadiah menarik yang ditawarkan hasil sumbangan daripada pelbagai penaja korporat.

Antara hadiah utama yang menjadi rebutan ialah sebuah televisyen bernilai RM1,599 dan emas eksklusif daripada Habib Jewels selain turut menyumbang hadiah seperti Ajinomoto, Acorn Communications, Givi Asia, Econsave, FGV serta Petronas.

Pada masa sama, Husain turut menyatakan keyakinan bahawa program berkenaan berpotensi besar untuk dijadikan acara tahunan atau dwi tahunan anjuran Harian Metro pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengurus Besar Jabatan Pengedaran dan Jualan The New Straits Times Press (NSTP), M Prakash berkata, acara ini bukan sekadar larian tetapi platform untuk menyemarakkan semula nilai budaya dalam gaya hidup moden.

“Kebiasaannya batik hanya dikaitkan dengan majlis rasmi atau pakaian tradisional. Tapi hari ini, kita bawa batik ke dalam dunia sukan dan terbukti sambutannya sangat luar biasa,” katanya yang turut menyertai larian terbabit yang berlangsung di sekitar Dataran Merdeka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top