Batu Kawan Bergegar! Jom Heboh Tarik 350,000 Pengunjung

Batu Kawan Bergegar! Jom Heboh Tarik 350,000 Pengunjung

Karnival Jom Heboh (KJH) sekali lagi membuktikan pengaruhnya sebagai acara padang paling ikonik tanah air apabila lebih 350,000 pengunjung membanjiri pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang sepanjang tiga hari penganjuran bermula 7 hingga 9 November lalu.

Edisi kali ini tampil lebih meriah dengan pelbagai aktiviti menarik, cabaran gaya hidup sihat serta persembahan artis popular yang menyerikan suasana penuh warna-warni sepanjang hujung minggu.

Karnival anjuran Media Prima Berhad (MPB) itu terus mengekalkan reputasi sebagai platform hiburan keluarga terbesar negara dengan menggabungkan elemen hiburan, riadah dan komuniti di bawah satu bumbung.

Antara aktiviti yang menjadi tumpuan ialah Street Soccer 3 on 3, Pertandingan Karaoke dan Tarian Tradisional Drama Sangat, Buletin Challenge, Meet & Greet bersama selebriti TV3 dan TV9, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Tonton Thrill Rumah Hantu, serta aktiviti kecergasan seperti Zumba, Pound Fitness dan Jom Lokal Jam.

Fun Run & Viper Challenge Tarik Ribuan Peserta

Menariknya, buat julung kali Jom Heboh Fun Run dianjurkan pada pagi Ahad sempena sambutan ulang tahun ke-22 karnival berkenaan. Acara santai sejauh 5 kilometer itu disertai hampir 2,000 peserta dan dirasmikan oleh Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Dato’ Ts. Azizee Ismail, serta Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid.

Peserta bukan saja menikmati suasana penuh semangat diiringi muzik dan sorakan penonton, malah menerima jersi edisi khas, goodie bag eksklusif serta berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM40,000.

Turut mencuri perhatian ialah Viper Challenge, cabaran halangan lasak untuk seisi keluarga yang mendapat sambutan luar biasa. Demonstrasi khas oleh pasukan Komando Malaysia (GGK) turut menjadi tarikan utama di lokasi.

Artis Popular Meriahkan Suasana

Kemeriahan karnival turut diserikan dengan kehadiran barisan selebriti dan personaliti popular seperti Muaz Zabir, Shamsul Ghau Ghau, Saidah Kamarudin, Syahmie Thsaqeef, Dayang Areeda, Anna Jobling, Liza Abdullah, Shaza Bae, Fedtri Yahya, Farah Nabilah, Fatin Hamimah, dan Naqiu, yang sempat beramah mesra serta bergambar dengan peminat di Studio Tonton Drama Sangat (STDS).

Suasana di STDS tambah gamat dengan Pertandingan Karaoke Rangga & Cinta yang mendapat sambutan hangat, bersempena tayangan filem romantik itu di pawagam. Peserta cilik, Nur Aishah Mohd Hassan, muncul juara dengan persembahan bertenaga sekali gus membawa pulang hadiah RM500 serta dinobatkan sebagai Pemenang Persembahan Terbaik.

Konsert Dua Malam Gegar Pentas

Acara kemuncak Konsert Jom Heboh yang berlangsung selama dua malam berturut-turut menjadi tumpuan ribuan pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan barisan artis popular.

Antara yang menghangatkan pentas ialah Amelina, Nabila Razali, Kaka Azraff, Jimi (OIAM), K.O.I, Aisha Retno, Khai Bahar, Naqiu, Drama Band dan Aina Abdul. Persembahan bertenaga mereka disambut sorakan gemuruh, mencipta kenangan manis buat peminat yang hadir.

Selain hiburan, pelbagai reruai pameran seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Puspakom dan Perkampungan Usahawan UDA turut menarik perhatian pengunjung dengan pelbagai tawaran promosi serta hadiah menarik.

Gerai makanan tempatan dan hidangan viral juga menjadi tumpuan utama pengunjung yang mahu menikmati sajian sambil bersantai bersama keluarga.

Platform Riadah & Komuniti Terbesar

Penganjuran KJH Pulau Pinang 2025 sekali lagi membuktikan keupayaannya menjadi platform terbaik dalam menyatukan masyarakat pelbagai lapisan menerusi aktiviti riadah, hiburan serta nilai kekeluargaan yang menyeronokkan.

Scroll to Top