Batu Puteh: 'Kalau betul saya gadai, saya akan dihukum' – Tun M

Batu Puteh: 'Kalau betul saya gadai, saya akan dihukum' – Tun M

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak gentar untuk dibicarakan sekiranya benar dirinya melakukan kesalahan sehingga menyebabkan Batu Puteh jatuh ke tangan Singapura.

“Kalau saya buat salah, bawa saya ke mahkamah dan bicaralah. Kalau betul saya jual (Batu Puteh), kalau betul saya gadai, saya akan dihukum.

“Tetapi kalau tak betul, orang yang tuduh saya patut minta maaf,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Kabinet tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana usia, sedangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sendiri tidak menyatakan beliau bersalah secara mutlak.

“Ada pula orang kata, dia memang bersalah tapi kita tak ambil tindakan kerana dia dah tua, umur 100 tahun. Kalau sudah pasti bersalah, tak payah tunggu tua ke muda, ambil sajalah tindakan.

“Tetapi kerana tak ada kes, sebab itu tak dibawa ke mahkamah,” katanya.

Tegas Dr Mahathir, keputusan menarik balik semakan terhadap Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dibuat selepas penelitian menyeluruh dan bukan tindakan semberono.

“Negara kita pernah dapat kemenangan ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan. Tetapi dalam kes Batu Puteh, ICJ buat keputusan berdasarkan dokumen dan peta yang menunjukkan Singapura menguruskan pulau itu sejak sekian lama.

“Walaupun kita rasa pulau itu milik kita, tetapi undang-undang antarabangsa tidak memihak kepada perasaan atau semangat nasionalisme semata-mata. Kita kena guna akal dan fakta,” katanya.

Pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, 22 Julai lalu, Anwar mendedahkan kerajaan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir berhubung isu Batu Puteh kerana faktor usia, namun tetap berpendirian Dr Mahathir bersalah apabila melepaskannya kepada Singapura.

Menurutnya, keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri walaupun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dinyahklasifikasi pada Disember 2024 menyatakan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b), Seksyen 417 dan Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

RCI mendapati kerajaan ketika itu menarik balik permohonan semakan keputusan ICJ pada 2008 yang menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura tanpa melalui proses Kabinet secara menyeluruh.

Anwar turut menegaskan beliau tidak mahu kesilapan dalam isu Batu Puteh berulang dalam rundingan sempadan maritim Malaysia–Indonesia di Laut Sulawesi, menyifatkan keputusan menyerahkan pulau itu sebagai ‘terlalu mudah dan mencalar maruah negara’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top