am@hmetro.com.my
Bayan Lepas: Panggilan khas yang diterima pihak bomba bagi membuka pintu rumah berkunci di sebuah pangsapuri di Teluk Kumbar di sini, semalam, membawa kepada penemuan mayat wanita warga emas dan seorang lelaki.
Difahamkan, kedua-dua mereka adalah ibu dan anak, dan jiran dipercayai menghubungi pihak berkuasa selepas terhidu bau busuk dari rumah berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, panggilan diterima pihaknya pada 7.48 malam.
Katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau diketuai Mohamad Nizar Ibrahim ke lokasi sebaik panggilan diterima.
“Panggilan diterima daripada PDRM yang memohon bantuan bagi membuka pintu rumah berkunci dari dalam dan dipercayai terdapat mangsa dalam rumah itu.
“Sebaik tiba di lokasi dan pasukan penyelamat bertindak membuka pintu menggunakan peralatan khas bersama-sama polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut John berkata, pihaknya menemukan dua mangsa yang masing-masing berada di ruang tamu dan bilik tidur dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi.
“Kedua-dua mayat dan kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada 10.55 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd



