Bau busuk dari rumah usang bawa penemuan mayat berulat

Bau busuk dari rumah usang bawa penemuan mayat berulat

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Bau busuk dari sebuah rumah usang di Batu 15, Jalan Kapar, Kampung Sungai Janggut, Jeram, Kuala Selangor membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki, semalam.

Mangsa berusia 50 tahun yang terbaring di ruang tamu ditemukan seorang wanita warga tempatan yang juga saudaranya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, polis menerima aduan berhubung kejadian jam 7.10 malam.

“Pemeriksaan fizikal mendapati si mati sudah membusuk serta berulat.

“Mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azaharudin berkata, setakat ini tiada unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya mengawasi ahli keluarga yang tinggal bersendirian di rumah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top