Bau najis ayam menyeksa 3,000 penduduk sejak 20 tahun lalu

Bau najis ayam menyeksa 3,000 penduduk sejak 20 tahun lalu

Oleh Johary Indan

am@hmetro.com.my

Tamparuli: Lebih 3,000 penduduk enam kampung di daerah ini hidup derita kerana terpaksa menghidu bau busuk najis dari ladang ternakan ayam di Kampung Kauluan, dekat sini, sejak 20 tahun lalu.

Selain bau bau, pemilik ladang ternakan ayam itu turut didakwa mengalirkan najis haiwan dari kolam kumbahan ladang ke dalam sungai berhampiran menyebabkan Sungai Kauluan dan Magana tercemar air bertukar hitam serta busuk.

Difahamkan, dua sungai itu mengalir ke Loji Rawatan Air Telibong yang membekalkan air bersih kepada lebih 100,000 pengguna di Tamparuli, Tuaran dan sekitarnya.

Kampung yang terjejas dengan pencemaran bau itu ialah Kauluan, Kauluan Ulu, Dangsangai, Nohirot, Telibong dan Magana.

Selain itu, bau busuk najis ayam itu turut dapat dihidu penduduk Tamparuli, Tambalugu, Lakang, Panjut, Tagas, Berungis, Damat dan Bantayan yang berada kira-kira 10 kilometer dari lokasi ladang.

Wakil penduduk, Sait Lawadin, 62, berkata pencemaran bau najis ayam itu berlanjutan hampir 20 tahun, namun belum menemui penyelesaian.

“Dulu hanya penduduk Kauluan menderita, sejak akhir-akhir ini pencemaran itu sudah merebak perkampungan lain yang berada kira-kira 10 kilometer dari lokasi penternakan,” katanya.

Beliau berkata, penduduk kampung terbabit buntu dengan masalah itu yang mengganggu kehidupan harian mereka.

“Penduduk tidak tahu apa lagi perlu dilakukan untuk menangani masalah pencemaran bau najis yang sudah berlanjutan terlalu lama itu.

“Setiap kali penduduk membangkit masalah pencemaran bau busuk najis ayam dan sungai tercemar, maka akan ada pegawai agensi kerajaan datang meninjau Kauluan, kononnya untuk mengetahui kebenaran dakwaan penduduk membolehkan tindakan diambil.

“Selepas itu, penduduk tidak menerima sebarang maklumat lanjut mengenai hasil siasatan pencemaran dialami sungai berkenaan, selain tiada tindakan susulan diambil menangani masalah itu yang berlanjutan begitu lama,” katanya.

Penduduk Kampung Kauluan, Azlan Abdullah, 59, berkata sebelum ini Sungai Kauluan dan Magana pernah terjejas najis ternakan babi di Ulu Kauluan, namun kejadian itu tidak berlaku lagi selepas ladang berkenaan diarah tutup oleh kerajaan.

“Kini, masalah baharu pula timbul apabila ada pengusaha membuka ladang ternakan ayam besar-besaran di Kauluan, tidak bertanggungjawab mengalirkan najis dalam sungai,” katanya.

Beliau berkata, masalah pencemaran itu seolah-oleh tiada penghujung, apabila pengusaha ladang ternakan itu bertindak membeli tanah kosong milik penduduk untuk menambah keluasan tapak ladang.

“Lebih membimbangkan tanah sawah milik penduduk yang lama terbiar sudah bertukar menjadi kolam kumbahan najis ayam selepas pengusaha ladang itu membeli tanah berkenaan daripada penduduk,” katanya.

Sehubungan itu, Azlan berharap masalah itu dapat selesaikan dengan campur tangan kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim berkata, sudah meminta Pejabat Daerah Tamparuli dan agensi berkaitan memerika ladang ternakan ayam itu.

“Mereka sudah melakukan pemeriksaan dan tindakan susulan akan dilakukan kemudian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top