Persembahan kumpulan terkenal, Drama Band yang berlangsung di Lorong Belakang Cyberjaya yang diadakan malam tadi mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.
Terletak di Shaftsbury Square, Cyberjaya, ‘Lorong Belakang’ bukan sahaja menjadi destinasi popular untuk membeli makanan dan barangan, tetapi ia juga menawarkan hiburan menarik.

Hadir menghiburkan pengunjung Lorong Belakang, persembahan terbabit juga merupakan sebahagian rangka promosi Drama Band menjelang Konsert The Hardest Malam Drama yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 5 Oktober ini.
Walaupun persembahan ini berkonsepkan busking, Drama Band tetap menampilkan persembahan bertenaga dengan membawakan 12 lagu bersama anggota kumpulan mereka, tidak jauh beza dengan penampilan mereka di konsert-konsert besar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Youth Ventures Asia merangkap penganjur Lorong Belakang, Hanif Marzuki, 30, kehadiran Drama Band telah meningkatkan lagi reputasi pentas Lorong Belakang yang beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad.
“Kali terakhir acara seumpama ini diadakan adalah oleh Datuk Sudirman di Chow Kit Road. Sejak itu, tak ada lagi persembahan sebegini. Kami bawa Drama Band ke Lorong Belakang selepas mereka menyuarakan hasrat untuk membuat persembahan sambil menjual tiket konsert mereka.

“Mereka adalah pilihan tepat untuk persembahan pertama seumpama ini di Lorong Belakang. Jika kami boleh bawa Drama Band, band-band lain juga boleh. Sambutan daripada penonton memang luar biasa.
“Sebelum ini, kami hanya menampilkan busker biasa. Dua bulan lalu, kami jemput sekolah seni untuk membuat persembahan. Kini, kami sudah mula memanggil artis terkenal,” kata Hanif.
Menurutnya, dianggarkan antara 10,000 hingga 15,000 pengunjung hadir setiap minggu dari seluruh negara.
Y
“Lorong Belakang sudah beroperasi sejak 2019, namun ia terhenti semasa pandemik. Selepas aktiviti kembali dibenarkan, tapak ini masih belum mendapat sambutan.
“Namun, dengan kerjasama Shaftsbury Square, Lorong Belakang kini berlangsung setiap Jumaat hingga Ahad dan dibuka sehingga tengah malam. Semakin tular di media sosial, pengunjung dan peniaga juga semakin bertambah,” katanya
Hanif turut berkongsi bahawa Lorong Belakang menawarkan peluang pekerjaan sambilan kepada pelajar universiti di sekitar Cyberjaya.




