bawa Jepun julang Piala Asia

bawa Jepun julang Piala Asia

Sydney: Pasukan wanita Jepun menewaskan tuan rumah Australia 1-0 pada final Piala Asia, sekali gus merangkul gelaran ketiga dalam empat edisi terakhir.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan Maika Hamano pada minit ke-17 apabila dia melakukan percubaan dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Australia, Mackenzie Arnold.

Australia yang juga juara 2010 memberikan tentangan sengit, namun gagal memanfaatkan deretan peluang terhidang.

Penyerang utama, Sam Kerr berjaya dikawal rapi, manakala rakan sepasukan, Caitlin Foord turut mensia-siakan beberapa peluang terbaik.

Jepun terpaksa bertahan habis-habisan dalam 10 minit terakhir ketika Australia menggandakan asakan dengan sokongan padu 74,357 penonton di Stadium Australia.

Pemain gantian Emily van Egmond hampir menyamakan kedudukan namun percubaannya disekat, manakala tandukan Alanna Kennedy hasil hantaran Ellie Carpenter berjaya diselamatkan penjaga gol Jepun, Ayaka Yamashita.

Kemenangan itu menyaksikan Jepun menambah koleksi kejuaraan selepas edisi 2014 dan 2018, sekali gus mengukuhkan status sebagai kuasa besar Asia.

Jurulatih Australia, Joe Montemurro mengakui perbezaan antara kedua-dua pasukan hanya terletak pada penyudah.

Mereka menjaringkan gol yang cukup baik, kami pula gagal.

Perlawanan seimbang, tapi Jepun adalah pasukan yang luar biasa, katanya.

Kekalahan itu jelas mengecewakan generasi emas Australia yang mengharapkan kejuaraan di laman sendiri.

Pertahanan, Steph Catley menyifatkan ia antara kekalahan paling perit dalam kariernya.Kami sudah berikan segalanya, cipta peluang dan berani, tapi bukan rezeki kami, katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top