asmaini@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pembayaran (ETPS) kepada 2,504 Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) sekolah menengah yang tidak lagi layak susulan penggredan semula sekolah, akan dihentikan mulai bulan ini.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya hari ini turut memaklumkan bahawa kementerian itu juga akan membayar tunggakan ETPS kepada 1,356 GKMP di sekolah menengah yang bertukar taraf kepada Gred A, pada tahun hadapan.
Katanya, bagi 2,504 GKMP yang tidak lagi layak, KPM akan melaksanakan penyelarasan bayaran balik ETPS dan memastikan ia diuruskan secara berhemah supaya tidak membebankan guru terbabit.
“Kementerian memahami kebimbangan GKMP sekolah menengah berhubung ETPS susulan penggredan semula sekolah yang berkuat kuasa 11 Januari lalu.
“Penggredan semula sekolah dilaksanakan berdasarkan tiga kriteria iaitu enrolmen murid, bilangan penghuni asrama dan peringkat pendidikan.
“Berdasarkan penggredan ini, sekolah menengah kini terdiri daripada Gred A dan Gred B. Sebanyak 339 sekolah menengah naik kepada Gred A daripada Gred B, manakala 626 sekolah menengah turun kepada Gred A daripada Gred B,” katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan peraturan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa, hanya GKMP di sekolah menengah Gred A yang layak menerima ETPS sebanyak RM120 sebulan.
Perubahan taraf gred sekolah menengah itu nyata memberi kesan kepada 3,860 penyandang GKMP.
Sehubungan itu, KKM turut mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak kesatuan dari Mac hingga Julai lalu.
Kata kenyataan itu lagi, pada sesi berkenaan, kesatuan mencadangkan supaya rayuan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya GKMP sekolah menengah Gred B layak menerima ETPS.
“Berdasarkan cadangan itu, KPM mengemukakan surat rayuan pada 13 Ogos lalu. Bagaimanapun menerusi surat bertarikh 23 September lalu, JPA memaklumkan rayuan berkenaan tidak dapat dipertimbangkan,” katanya.
KPM berkata, kementerian menghargai sumbangan GKMP dalam menyelia mata pelajaran dan meningkatkan pencapaian akademik sekolah.
“KPM juga komited memelihara kebajikan guru dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak, termasuk kesatuan dan agensi berkaitan, demi kesejahteraan warga pendidik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




