Kuala Lumpur: Semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang pernah diluluskan Geran Khas Prihatin (GKP) 1.0 dan 2.0 akan menerima GKP Tambahan mulai 25 Mac ini.
Ia membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM883 juta.
Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 24 Mac 2021 di Portal GKP iaitu https://gkp.hasil.gov.my.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan berkata, di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), kerajaan mengumumkan bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM1,000 melalui GKP Tambahan kepada PKS mikro di 12 negeri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada Januari dan Februari lalu serta RM500 kepada PKS mikro di negeri bukan PKP.
“GKP Tambahan ini bertujuan meringankan beban kewangan perniagaan ekoran penularan wabak Covid-19 dan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan PKS mikro.
“Mengambil kira GKP 1.0, GKP 2.0 dan GKP Tambahan yang diluluskan, jumlah keseluruhan penerima GKP hampir 900,000 PKS mikro dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM3.58 bilion,” katanya.
Bagi PKS mikro yang berada di Semenanjung Malaysia, bayaran RM1,000 akan diberikan kepada 812,000 PKS membabitkan jumlah RM812 juta.
Manakala penerima di Sabah, seramai 54,000 PKS mikro akan menerima bayaran RM1,000 yang membabitkan jumlah RM54 juta.
Bagi PKS di Sarawak yang tidak terbabit di bawah PKP, 34,000 PKS mikro akan menerima bayaran RM500 dengan jumlah keseluruhan RM17 juta.
Di bawah GKP 1.0, lebih 545,000 PKS mikro seluruh negara menerima manfaat dengan jumlah keseluruhan bantuan RM1.63 bilion.
Manakala GKP 2.0 diberikan kepada PKS mikro yang tidak menerima GKP 1.0 dan jumlah yang diperuntukkan kerajaan mencecah RM912 juta iaitu peningkatan daripada peruntukan asal sebanyak RM600 juta.
Di bawah GKP 1.0 dan 2.0, PKS mikro menerima bayaran RM3,000 secara one- off.




