Bayern diburu Dortmund, Leverkusen dan Stuttgart

Bayern diburu Dortmund, Leverkusen dan Stuttgart

Berlin: Pencabar utama kejuaraan, Borussia Dortmund, Bayer Leverkusen dan juara Piala Jerman, Stuttgart, bersiap sedia untuk mengintai peluang menggugat dominasi Bayern Munich dalam perebutan gelaran Bundesliga selepas gergasi Bavaria itu melalui jendela perpindahan musim panas yang mengecewakan.

Bayern akan berkunjung ke Stuttgart, Sabtu ini, bagi aksi Piala Super Franz Beckenbauer, perlawanan pembuka musim yang menemukan juara liga bertahan menentang pemenang Piala Jerman.

Mengungguli 12 daripada 13 kejuaraan Bundesliga terakhir, Bayern sekali lagi menjadi pilihan utama.

Namun, musim panas ini tidak berjalan lancar buat juara liga 34 kali itu.

Hasrat memancing pemain terbaik Jerman, Florian Wirtz, dari Leverkusen gagal apabila bintang itu memilih menyertai Liverpool di Liga Perdana Inggeris.

Bayern berjaya mendapatkan penyerang Luis Diaz daripada juara England itu, tetapi kehilangan Thomas Mueller, Leroy Sane dan Eric Dier secara percuma.

Kingsley Coman dijangka berhijrah ke Arab Saudi, Mathys Tel pula kekal di Tottenham Hotspur selepas pinjamannya dijadikan tetap, manakala usaha memancing penyerang Jerman, Nick Woltemade, dari Stuttgart ditolak.

Kapten Bayern, Joshua Kimmich, mengakui perubahan besar di Bundesliga musim panas ini menjadikan sukar untuk mengenal pasti siapa pencabar utama mereka.

“Kita akan lihat siapa yang mampu bersaing di atas. Bagi kami, yang penting adalah fokus pada hala tuju sendiri. Kami tak boleh kawal apa yang dilakukan pasukan lain,” katanya kepada laman rasmi Bundesliga.

Kimmich turut menjangka bekas kelabnya, RB Leipzig, mampu bangkit selepas kempen hambar musim lalu apabila gagal layak ke Eropah buat kali pertama dalam sejarah Bundesliga.

Leipzig kini diperkuat beberapa bakat muda termasuk Johan Bakayoko dan Arthur Vermeeren, hasil sentuhan bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, yang kini bertindak sebagai ketua global bola sepak Red Bull.

“Leipzig ada pasukan yang bagus. Ketiadaan mereka dalam saingan Eropah membolehkan fokus sepenuhnya diberikan kepada Bundesliga,” tambah Kimmich.

Sementara itu, Leverkusen yang menjadi pesaing terdekat Bayern dua musim terakhir, mengalami rombakan besar.

Sebahagian besar tonggak yang membantu mereka merangkul kejuaraan liga dan Piala Jerman 2023/24 tanpa kalah telah berhijrah – termasuk Wirtz dan Jeremie Frimpong ke Liverpool, Granit Xhaka ke Liga Perdana, manakala benteng Jerman, Jonathan Tah, menyertai Bayern.

Kehilangan terbesar adalah jurulatih Xabi Alonso yang memilih menyertai Real Madrid, diganti bekas pengendali Manchester United, Erik ten Hag, yang berdepan tugas membina semula skuad baharu.

Eintracht Frankfurt yang menamatkan saingan di tangga ketiga musim lalu turut dalam fasa pembinaan semula selepas kehilangan Hugo Ekitike ke Liverpool pada Julai, hanya enam bulan selepas Omar Marmoush berpindah ke Manchester City.

Borussia Dortmund pula, di bawah kendalian juara Bundesliga, Niko Kovac, dijangka kembali mengganggu gergasi Bavaria itu.

Kovac mengambil alih pada Januari ketika Dortmund bergelut di tangga ke-11 sebelum melonjak ke tangga keempat dengan 22 daripada 24 mata maksimum.

Kehadiran Jobe Bellingham menambah kekuatan di tengah, manakala satu-satunya kehilangan besar adalah Jamie Gittens yang berpindah ke Chelsea.

Juara Piala Jerman dan naib juara Bundesliga musim lalu, Stuttgart, juga dilihat mampu menjadi duri dalam daging.

Kapten mereka, Atakan Karazor, menegaskan skuad bimbingan Sebastian Hoeness itu memiliki pemain berkualiti di setiap posisi.

“Hoeness jurulatih yang luar biasa. Anda boleh lihat sentuhannya dalam setiap aksi pasukan. Sejak dia tiba, mentaliti kami berubah sepenuhnya,” kata Karazor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top