Bayern Munich tak minat sambar Salah

Bayern Munich tak minat sambar Salah

PENGARAH Sukan Bayern Munich, Max Eberl tampil menafikan khabar angin yang mengaitkan gergasi Bundesliga itu dengan perpindahan bintang Liverpool, Mohamed Salah secara ejen bebas pada musim panas ini.

Minggu lalu, Liverpool mengumumkan Salah bakal meninggalkan Anfield, sekali gus menamatkan karier gemilangnya selama sembilan tahun bersama kelab Merseyside itu pada penghujung musim ini.

Pemain berusia 33 tahun itu dianggap sebagai antara pemain paling berpengaruh dalam sejarah The Reds selepas membantu kelab menjulang lapan trofi utama, termasuk dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan trofi Liga Juara-Juara pada 2019.

Bagaimanapun, spekulasi mengenai masa depan pemain antarabangsa Mesir itu mula bertiup kencang sejak dia menandatangani kontrak baharu tahun lalu selain laporan mengenai perselisihan faham dengan pengurus, Arne Slot yang menyebabkannya digugurkan dalam tiga perlawanan pada Disember lalu.

Meskipun hubungan Salah dan Slot dilaporkan kembali pulih dengan pemain itu meledak lima gol dalam 14 penampilan terakhir sejak pulang dari Piala Negara-Negara Afrika keputusan Salah untuk berhijrah dikatakan sudah muktamad.

Ejen Salah, Ramy Abbas sebelum ini menegaskan destinasi seterusnya buat pemain itu masih belum ditentukan.

“Kami tidak tahu di mana Mohamed akan bermain musim depan. Ini juga bermakna tiada orang lain yang tahu,” kata Abbas menerusi hantaran di laman X.

Kenyataan itu disusuli dakwaan Pengarah Pasukan Kebangsaan Mesir, Ibrahim Hassan yang membayangkan Salah menerima tawaran daripada Bayern Munich, Paris Saint-Germain (PSG) dan beberapa kelab Serie A.

Enggan membiarkan spekulasi terus bertiup, Eberl dalam satu temu bual bersama Winwin menafikan dakwaan Hassan tersebut.

“Tidak, Mohamed Salah tidak menerima sebarang tawaran daripada Bayern Munich,” katanya bagi memadam spekulasi penglibatan kelab Jerman itu.

Kontrak Salah bersama Liverpool sebenarnya berbaki setahun lagi, namun juara EPL itu memutuskan untuk melepaskannya lebih awal sebagai tanda penghormatan kepada pemenang tiga kali Pemain Terbaik PFA itu.

Salah dijangka meninggalkan Anfield sebagai penjaring gol ketiga terbanyak dalam sejarah kelab dengan 255 gol, di belakang legenda Roger Hunt (285) dan Ian Rush (346).

Ringkasan AI

  • Pengarah Sukan Bayern Munich menafikan khabar angin mengenai perpindahan Mohamed Salah ke kelab itu.
  • Liverpool mengumumkan Salah akan meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini selepas sembilan tahun.
  • Spekulasi masa depan Salah meningkat walaupun hubungannya dengan pengurus kini pulih.
  • Ejen Salah menyatakan destinasi seterusnya masih belum ditentukan.
  • Salah akan meninggalkan Anfield sebagai penjaring gol ketiga terbanyak dalam sejarah kelab.
Scroll to Top