London: Juara Bundesliga, Bayern Munich bersetuju untuk menandatangani pemain sayap Liverpool, Luis Diaz menerusi perjanjian bernilai £65.5 juta (RM371.8 juta), menurut beberapa laporan.
Bayern sebelum ini mengemukakan tawaran awal bernilai £59 juta (RM334.9 juta) yang ditolak oleh juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu minggu lalu, namun bidaan dipertingkatkan, sekali gus akan menyaksikan pemain antarabangsa Colombia itu berhjirah ke Allianz Arena.
Diaz dilaporkan sudah diberi kebenaran untuk meninggalkan jelajah pramusim Liverpool di Asia bagi menjalani ujian perubatan bersama Bayern.
Dia menyertai Liverpool dari Porto pada Januari 2022, dan sepanjang bersama kelab itu, Diaz sudah memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Piala Liga.
Pemain berusia 28 tahun itu membuat 50 penampilan dan menjaringkan 17 gol dalam semua kejohanan musim lalu ketika pasukan kendalian Arne Slot menjuarai liga buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.
Diaz tidak diturunkan dalam kekalahan 2-4 Liverpool kepada AC Milan pada aksi persahabatan di Hong Kong, Sabtu lalu ketika spekulasi mengenai masa depannya semakin hangat diperkatakan.
“Dalam situasi Lucho (Diaz), terdapat banyak khabar angin sejak kebelakangan ini dan saya tidak boleh ulas lanjut mengenainya,” kata Slot selepas perlawanan menentang Milan.
“Dia berlatih dengan sangat baik bersama kami tetapi kami memutuskan untuk tidak menurunkannya buat masa ini. Saya memang biasa berbual dengan kebanyakan pemain saya. Tapi saya tak boleh ulas lebih daripada itu,” kata Slot selepas perlawanan menentang Milan.
Ketibaan Diaz dijangka menjadi pengganti berkualiti buat penyerang Jerman, Jamal Musiala, yang diketepikan untuk tempoh panjang selepas mengalami kecederaan patah kaki dan buku lali terkehel ketika beraksi di Piala Dunia Kelab awal bulan ini.
Liverpool pula aktif dalam jendela perpindahan, memperkuat bahagian serangan dengan membeli pemain tengah Bayer Leverkusen, Florian Wirtz dan penyerang Eintracht Frankfurt, Hugo Ekitike.
Pertahanan, Jeremie Frimpong dan Milos Kerkez turut dibawa masuk dari Leverkusen dan Bournemouth, manakala penjaga gol, Giorgi Mamardashvili Bayern dari Valencia.
© New Straits Times Press (M) Bhd