Bayi 7 bulan disahkan meninggal dunia akibat tersedak susu

Bayi 7 bulan disahkan meninggal dunia akibat tersedak susu

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tersedak susu disahkan sebagai punca bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia di sebuah taska di Taman Danau Kota, di sini, kelmarin.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berdasarkan laporan bedah siasat terhadap bayi terbabit.

“Punca kematian bayi terbabit adalah ‘Asphyxia due to food and milk aspiration’ (kekurangan oksigen disebabkan oleh makanan atau susu),” katanya ringkas kepada pemberita hari ini.

Harian Metro terdahulu melaporkan, polis menerima laporan bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia dalam kejadian di sebuah taska di Taman Danau Kota, di sini, kelmarin.

Syahrul Anuar dilaporkan berkata, laporan dibuat bapa mangsa di Balai Polis Setapak pada 1.26 tengah hari.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan dilapor mengesahkan taska berkenaan berdaftar dengan jabatan itu.

Beliau berkata, taska berkenaan sudah memperbaharui pendaftaran dengan JKM Kuala Lumpur pada 24 Januari lalu hingga 23 Januari 2030.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top