am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pengasuh wanita ditahan polis selepas bayi lelaki berusia sembilan bulan maut akibat pendarahan dalam kepala dan luka di mulut semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, bayi itu disahkan meninggal dunia pada jam 3.30 petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan fizikal.
“Bagaimanapun pemeriksaan di bahagian dalam mulut dapati terdapat kesan luka yang disyaki diakibatkan oleh suatu objek yang tidak dapat dipastikan.
“Pendarahan yang banyak pada otak mangsa berkemungkinan akibat oleh kekurangan oksigen dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepenuhnya ketika menerima rawatan,” katanya kepada Harian Metro malam ini.
Beliau berkata, susulan kematian bayi itu, pengasuhnya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
© New Straits Times Press (M) Bhd




