Bayi baru lahir ditikam sembilan kali, ditanam berhampiran rumah

JAKARTA – Mayat bayi baru lahir yang ditemukan dalam keadaan tidak lengkap selepas diseret seekor anjing di Sumedang, Jawa Barat didapati mempunyai sembilan kesan tikaman pada badan sebelum ditanam di kawasan kosong berhampiran rumah suspek.

Perkembangan itu terbongkar selepas polis menahan ibu kandung bayi berkenaan, seorang wanita berusia 19 tahun yang dikenal pasti sebagai ER pada 31 Ogos lalu.

Jasad bayi lelaki itu ditemukan pada malam 29 Ogos selepas seekor anjing peliharaan membawa sesuatu yang pada mulanya disangka bangkai haiwan di Dusun Sukaluyu, Desa Ungkal, Conggeang.

Pemeriksaan awal mendapati beberapa anggota badan mangsa hilang selain terdapat kecederaan pada wajahnya.

Polis pada mulanya mengesyaki keadaan jasad itu berpunca daripada gigitan anjing.

Bagaimanapun, siasatan kemudian membawa kepada penahanan ER yang dikenal pasti sebagai ibu kandung bayi tersebut.

Menurut polis, wanita itu mengaku melahirkan bayi berkenaan selepas hamil di luar nikah dan mendakwa bertindak dalam keadaan panik.

Kes itu mendapat perkembangan baharu selepas polis menjalankan lakonan semula kejadian membabitkan 32 babak di lokasi pada Selasa.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sumedang, Tanwin berkata, hasil siasatan mendapati bayi tersebut masih hidup ketika dilahirkan.

Pemeriksaan forensik turut menemukan sembilan kesan tikaman, dengan lima di bahagian belakang dan empat pada bahagian hadapan tubuh mangsa.

Polis turut mengesahkan anggota badan bayi yang hilang bukan disebabkan gigitan anjing seperti disangka pada awalnya, sebaliknya dipercayai dipisahkan menggunakan objek tajam.

Suspek dipercayai kemudian menanam jasad bayi itu di kawasan kosong berhampiran rumah sebelum ia digali dan diseret oleh anjing peliharaan penduduk.

Polis turut mengenal pasti seorang lelaki dari Tasikmalaya yang dipercayai mempunyai hubungan dengan suspek dan keterangannya sedang dirakam bagi membantu siasatan.

Dalam siasatan lanjut, polis merampas beberapa barang kes termasuk kain, selimut, beg kain serta peralatan yang dipercayai digunakan ketika menanam jasad bayi berkenaan.

Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan, manakala polis masih menjalankan pencarian di kawasan sekitar bagi mengesan anggota badan mangsa yang belum ditemui. – Agensi

Scroll to Top