am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Bayi perempuan berusia setahun menghidap sindrom heterotaxy, sejenis keadaan jarang berlaku yang menyebabkan jantung dan organ dalamannya di tempat tidak normal, memerlukan dana RM130,000 untuk menjalani pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawanya.
Nur Widad Jamadin turut disahkan mengalami masalah jantung kongenital dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan oksigen sejak lahir, selain keadaan kesihatannya semakin kritikal, memerlukan pembedahan segera bagi memperbaiki fungsi jantungnya.
Bapa bayi berkenaan, Jamadin Ani, 44, berkata, keluarganya tidak mampu menanggung kos pembedahan yang terlalu tinggi dan kini bergantung kepada bantuan orang ramai untuk mengumpul dana berkenaan.
“Doktor memaklumkan pembedahan segera perlu dijalankan bagi memperbaiki keadaan jantung anak saya, namun saya tidak mampu membiayainya kerana kos terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Terdahulu, Jamadin dan isterinya, Norshida Zulkeple Amin, 39, dari Langkawi, Kedah, tampil di pejabat pertubuhan amal One Hope Charity and Welfare di sini untuk melancarkan tabung kutipan dana bagi membantu anak mereka.
Jamadin berkata, dia yang bekerja sebagai penjaja daging lembu hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,700 sebulan, manakala isterinya tidak bekerja.
Katanya, mereka juga perlu menyara anak berusia 15 tahun serta pasangan kembar berusia 10 tahun.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya sudi membantu mengumpul dana sebanyak RM130,000 yang diperlukan. “Meskipun risiko pembedahan adalah tinggi, antara 10 hingga 20 peratus, namun jika ia tidak dilakukan, komplikasi seperti paru-paru berair, jangkitan bakteria atau kematian boleh berlaku.
“Doktor mencadangkan bayi ini menjalani tiga tahap pembedahan dalam usaha memperbaiki keadaan jantungnya, bermula dengan pembedahan pertama yang perlu dilakukan dengan segera,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau melayari laman sesawang onehopecharity.org.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 dan 018-911 4192.
© New Straits Times Press (M) Bhd